Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Keceriaan terpancar pada wajah 28 pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Ibtida Ad-Diniyah selepas menerima sumbangan Kedai Ayamas menerusi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di sini, kelmarin.

Pengurusnya, Ummu Siti Fatimah Teh berkata, pelajar begitu teruja apabila buat pertama kali berpeluang merasai keenakan nasi ayam dan beberapa jenis makanan lain jenama Kedai Ayamas untuk juadah berbuka puasa.

Menurutnya, rezeki pelajar pada Ramadan kali bertambah apabila pelbagai pihak sudi memberi sumbangan makanan termasuk barangan keperluan asas program TKHM itu.

Katanya, pelajar di Maahad Tahfiz Al Quran Ibtida Ad-Diniyah sangat bersyukur berpeluang berbuka puasa dengan sumbangan berkenaan.

"Saya bagi pihak pelajar dan tenaga pengajar mengucapkan terima kasih kepada pemilik Kedai Ayamas yang bermurah hati memberi sumbangan kepada kami, hanya Tuhan sahaja yang akan membalasnya.

"Pihak pengurusan Maahad Tahfiz Al Quran Ibtida Ad-Diniyah perlu menyediakan perbelanjaan sebanyak RM25,000 sebulan untuk membayar sewa tiga unit rumah dan bayaran bil elektrik, air serta gaji enam guru lepasan luar negara," katanya yang membuka pusat pendidikan agama itu enam tahun lalu.

Majlis sumbangan berkenaan disempurnakan Pengarang Berita Kanan Harian Metro, Ahmad Shahrul Nizam Muhammad bersama Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kedai Ayamas, Mohamad Izham Mohamad Haroun dan francaisi Kedai Ayamas, Datuk Amadaldin Hamzah.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Korporat Komunikasi Kedai Ayamas, Nurfarah Abdul Jamaludin dan Pengurus Strategi Pemasaran dan Komunikasi Korporat NSTP, Kamarul Aznam Kamarozaman.

UMMU Siti Fatimah (kanan) bersama pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Ibtida Ad-Diniyah menerima sumbangan Titipan Kasih Harian Metro. FOTO Farizul Hafiz Awang
UMMU Siti Fatimah (kanan) bersama pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Ibtida Ad-Diniyah menerima sumbangan Titipan Kasih Harian Metro. FOTO Farizul Hafiz Awang

Mohamad Izham berkata, kerjasama Kedai Ayamas dengan Harian Metro menerusi program TKHM diharap dapat terus kekal dalam jangka panjang.

Menurutnya, menerusi program TKHM Ramadan kali ini pihaknya menyumbangkan makanan dari Kedai Ayamas untuk juadah berbuka puasa.

"Kita akan terus membantu pelajar maahad tahfiz bukan sahaja dengan menyediakan makanan, tetapi turut membabitkan sektor pekerjaan.

"Kita sedia menawarkan pekerjaan secara tetap dan sambilan kepada bekas pelajar, ilmu agama yang dimiliki bukan penghalang kepada mereka berjaya bersama Kedai Ayamas," katanya.

Bagi Amadaldin yang memiliki tiga rangkaian Kedai Ayamas di daerah ini berkata, kerjasama pihaknya dengan Harian Metro menerusi program TKHM memberi manfaat kepada banyak pihak.

"Harian Metro memberi laluan lebih luas kepada pihak kami menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan terutama pada Ramadan kali ini, kerjasama dengan jenama akhbar ini perlu diteruskan," katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada maahad berkenaan boleh menyumbang menerusi nombor akaun Maybank 556011090898.

WAKIL Harian Metro, Ahmad Shahrul Nizam (empat dari kiri) bersama Mohamad  Izham (enam dari kiri), Amadaldin (lima dari kiri),  Kamarul Aznam (tiga dari kiri) dan  Ummu Siti Fatimah (lima dari kanan) menunjukkan barangan bantuan pada majlis penyerahan sumbangan Titipan Kasih Harian Metro di  Maahad Tahfiz Al Quran Ibtida Ad-Diniyah. FOTO Farizul Hafiz Awang
WAKIL Harian Metro, Ahmad Shahrul Nizam (empat dari kiri) bersama Mohamad Izham (enam dari kiri), Amadaldin (lima dari kiri), Kamarul Aznam (tiga dari kiri) dan Ummu Siti Fatimah (lima dari kanan) menunjukkan barangan bantuan pada majlis penyerahan sumbangan Titipan Kasih Harian Metro di Maahad Tahfiz Al Quran Ibtida Ad-Diniyah. FOTO Farizul Hafiz Awang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 7:20 AM