Oleh Redzuan Muharam


Puchong: Jalinan kerjasama di antara Harian Metro dan Kedai Ayamas bagi menyantuni golongan B40 diteruskan lagi menerusi program Bakul Makanan Kedai Ayamas yang bertujuan membantu meringankan beban mereka.

Sumbangan Bakul Makanan Kedai Ayamas itu satu inisiatif kerjasama antara Harian Metro dan Kedai Ayamas di bawah program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Kedai Ayamas.

Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membantu menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkannya kepada penerima.

Menerusi sumbangan itu, 10,000 ekor ayam mentah diagihkan kepada 5,000 keluarga.

Setiap penerima dibekalkan dua ekor ayam mentah dan pengagihan membabitkan 58 cawangan Kedai Ayamas di seluruh negara dengan bantuan NGO terbabit.

Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi TKHM Husain Jahit berkata, akhbar ini berbesar hati dapat meneruskan lagi kolaborasi bersama Kedai Ayamas untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

"Ini kolaborasi kedua Harian Metro bersama Kedai Ayamas kerana program pertama TKHM sudah pun berlangsung sejak Ramadan lalu.

"Dalam program ini, 10,000 ekor ayam segar diagihkan kepada penerima terjejas di seluruh Malaysia kecuali Sabah serta Sarawak bermula hari ini.

"Ia satu usaha yang murni dan Harian Metro berterima kasih kepada Kedai Ayamas kerana sudi meneruskan kerjasama. Diharap lebih banyak lagi syarikat korporat sudi bekerjasama," katanya selepas majlis simbolik penyampaian sumbangan Bakul Makanan Kedai Ayamas di cawangan Kedai Ayamas, Bandar Puchong Utama di sini, semalam.

Majlis disempurnakan bersama Pengarah Eksekutif Kara Holdings Sdn Bhd Abd Rahman Md Dawi dan Pengarah Bahagian Komuniti JKM Quek Kia Ann.

Turut hadir, Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz, Pengurus Strategi Komunikasi dan Pemasaran NSTP Kamarul Aznam Kamarozaman dan Ketua Penolong Pengarah Kanan JKM Ahmad Tarmidi Nawawi Abdul Razak.

Sementara itu, Abd Rahman turut menzahirkan rasa syukur kerana dapat bekerjasama Harian Metro membantu golongan terkesan akibat pandemik.

"Ini satu impian kita di Kedai Ayamas sama-sama membantu mereka terkesan akibat pandemik.

"Kita mulakan inisiatif ini pada 15 Ogos lalu dan dengan setiap RM1 daripada pembelian seekor ayam panggang disumbangkan kepada Bakul Makanan Ayamas. Alhamdulillah, sambutan daripada pelanggan amat baik dan kita mengumpul 10,000 ekor ayam dengan nilai mencecah hampir RM80,000.

WAKIL Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia cawangan Selangor membantu mengagihkan ayam mentah sempena Program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Kedai Ayamas - Bakul Makanan Kedai Ayamas di Bandar Puchong Utama.
WAKIL Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia cawangan Selangor membantu mengagihkan ayam mentah sempena Program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Kedai Ayamas - Bakul Makanan Kedai Ayamas di Bandar Puchong Utama.

"Terima kasih kepada Harian Metro yang berpengalaman mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerana kolaborasi ini memudahkan agihan kepada sasaran penerima. Pihak kami sentiasa mencari ruang dan peluang berkongsi rezeki bukan saja waktu Covid-19 pada masa akan datang," katanya.

Manakala, Quek turut menyambut baik usaha Harian Metro dan Kedai Ayamas dalam menganjurkan program TKHM.

"JKM membantu Harian Metro dan Kedai Ayamas menyelaras pengagihan bantuan kepada yang memerlukan dan diharap lebih banyak syarikat mencontohi usaha murni ini," katanya.

Penyelaras Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia Cawangan Negeri Selangor Norhayati G Dasa pula berbesar hati dan berterima kasih kepada Harian Metro serta Kedai Ayamas kerana berkongsi rezeki.

"Kami menjaga warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di rumah dan terdapat 1,300 pelanggan serta 250 sukarelawan persatuan di Selangor. Hari ini, kita agihkan kepada 400 penerima golongan B40 di Subang Jaya, Hulu Langat dan Shah Alam," katanya.

TKHM adalah program tanggungjawab sosial korporat untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan termasuk keluarga miskin, anak yatim, ibu tunggal miskin, rumah kebajikan dan mangsa bencana alam dengan member bantuan fizikal, barangan keperluan asas, kelengkapan harian serta wang tunai.

HUSAIN (dua dari kiri) bersama Abd Rahman  (tengah) dan  Quek (kanan) bergambar bersama sempena Program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Kedai Ayamas - Bakul Makanan Kedai Ayamas di Bandar Puchong Utama.
HUSAIN (dua dari kiri) bersama Abd Rahman (tengah) dan Quek (kanan) bergambar bersama sempena Program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Kedai Ayamas - Bakul Makanan Kedai Ayamas di Bandar Puchong Utama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 9:00 AM