Yusmizal Dolah Aling


Sungai Petani: "Sumbangan ini memberikan semangat kepada penghuni untuk belajar kemahiran sebaik mungkin.

"Sudah tentu mereka akan berusaha bersungguh-sungguh kerana bantuan ini sangat bermakna," kata Pembantu Pembangunan Kanan Bengkel Daya Sungai Petani Mohd Yasir Mansor.

Katanya, sebagai agensi yang menyediakan kemahiran khusus kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) pihaknya berterima kasih dengan keprihatinan banyak pihak termasuk Harian Metro dan Kedai Ayamas yang tampil menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, bengkel berkenaan melatih 32 penghuni untuk mempelajari kemahiran asas seperti menjahit, masakan dan perkebunan untuk memastikan mereka bersedia untuk bekerja di luar.

"Kita tahu dengan kekangan dihadapi, mereka sukar mendapatkan pekerjaan.

"Jadi kita bantu mereka, ajar kemahiran supaya mereka ini terlatih dan mampu memenuhi tuntutan pasaran," katanya ketika menerima sumbangan pada program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Ayamas hari ini.

Selain bengkel berkenaan, program sama turut diadakan di Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda (PRAYDKM).

Sumbangan disampaikan Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad.

Hadir sama Pengurus Operasi Kedai Ayamas Cawangan Utara Fauziah Ahmad Shaari, Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Kara Holdings Nurfarah Abd Jamaludin dan Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Sementara itu Muhamad Safar berkata, program ini adalah inisiatif Harian Metro bersama pembaca menerusi kerjasama rakan strategik untuk meringankan beban mereka yang memerlukan.

Katanya, TKHM yang memasuki tahun ke-15 penganjurannya adalah program tanggungjawab sosial korporat untuk mendekati pembaca.

Muhamad Safar Ahmad (tiga dari kanan), Nurfarah Abdul Jamaludin (dua dari kiri), Noor Azam Abd Aziz (kanan), Fauziah Ahmad Shaari (dua dari kanan), Zaharah Mohd Khir (tiga dari kiri); dan Warden PRAYDKM, Mohd Shahfizan Mohd Jiva (tengah) bergambar pada majlis penyerahan sumbangan sempena Program TKHM bersama Ayamas di PRAYDKM, Kampung Che Bema di sini. FOTO DANIAL SAAD
Muhamad Safar Ahmad (tiga dari kanan), Nurfarah Abdul Jamaludin (dua dari kiri), Noor Azam Abd Aziz (kanan), Fauziah Ahmad Shaari (dua dari kanan), Zaharah Mohd Khir (tiga dari kiri); dan Warden PRAYDKM, Mohd Shahfizan Mohd Jiva (tengah) bergambar pada majlis penyerahan sumbangan sempena Program TKHM bersama Ayamas di PRAYDKM, Kampung Che Bema di sini. FOTO DANIAL SAAD

Beliau berkata, akhbar ini sentiasa mengambil pendekatan proaktif untuk mendekati masyarakat dan menyelami kehidupan golongan kurang bernasib baik.

"Berikutan situasi pandemik Covid-19 yang masih melanda di negara ini, pemilihan rumah kebajikan dibuat dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"TKHM adalah suatu program tanggungjawab sosial untuk membantu keluarga miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mangsa bencana alam dengan memberi bantuan berupa barangan keperluan asas dan kelengkapan harian," katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan Kedai Ayamas membabitkan sembilan rumah kebajikan di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Lembah Klang, Terengganu dan Johor.

Sementara itu, Penyelia Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda (PRAYDKM) Zaharah Mohamed Khir berkata, pihaknya terharu dengan sumbangan yang diterima kerana ia dapat meringankan beban keluarga terutama ketika pandemik.

Katanya, setiap sumbangan yang diterima akan diserahkan kepada keluarga kerana kebanyakan penghuni pulang ke rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita mempunyai 35 penghuni di sini namun disebabkan PKP, ramai yang kita hantar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Terima kasih kepada Harian Metro dan Kedai Ayamas di atas sumbangan ini. Ia amat bermakna kepada kami selain membuka mata masyarakat mengenai kewujudan PRAYDKM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 2:33 PM