GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis menembak mati dua penjenayah warga asing yang menjadi buruan susulan kejadian melepaskan tembakan Ahad lalu di Bukit Mengkuang, Kubang Semang di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang menaiki kereta Proton Waja itu melarikan diri dari pemeriksaan polis di Jalan Penanti di sini.

Bagaimanapun kereta dinaiki mereka berhenti di kawasan semak di Bukit Mengkuang sebelum suspek di bahagian penumpang hadapan keluar dan melepaskan dua das tembakan ke arah polis yang mengejar mereka manakala pemandu pula menyerang menggunakan parang.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata berikutan tindakan agresif suspek memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan menyebabkan kedua-dua penjenayah berkenaan maut.

Menurutnya, kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis, namun tembakan dilepaskan suspek terkena cermin sisi kereta polis.

"Dua suspek ini menjadi menjadi buruan polis menerusi Ops Api Siakap susulan kes ugutan dan melepaskan tembakan di Bukit Mertajam pada Ahad lalu.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki mereka, polis menemui dadah jenis heroin serta pelbagai peralatan pecah rumah di bahagian but.

"Polis turut menemui sepucuk pistol berisi enam butir peluru serta parang," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, semakan lanjut juga mendapati kereta yang dinaiki suspek dilaporkan hilang pada 29 Ogos tahun lalu bersangkut laporan di Sungai Petani, Kedah.

Mayat kedua-dua suspek dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:46 PM