Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Sepasang suami isteri ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Ayer Itam, di sini, semalam, selepas didapati mempunyai dadah selain menanam dua pokok ganja.

Kegiatan mereka dikesan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang menjalankan serbuan pada jam 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sebelum itu, polis menahan suspek lelaki berusia 38 tahun di perkarangan rumahnya dan pemeriksaan menemui tiga paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu dan ganja.

Katanya, siasatan terhadap suspek kemudian membawa polis ke rumah sewanya di kondominium berkenaan sebelum menemui 13 paket ganja dan peralatan menghisap dadah di ruang tamu kediaman itu.

"Pemeriksaan lanjut menemui dua pokok ganja belum matang yang ditanam dalam pasu plastik di balkoni kondominium itu.

"Turut ditahan isteri suspek berusia 36 tahun yang juga kerani di stesen minyak tempat suaminya bekerja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, hari ini.

SUFFIAN Santong (kiri) ketika sidang media rampasan pokok ganja dan pelbagai jenis dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut. FOTO Danial Saad
SUFFIAN Santong (kiri) ketika sidang media rampasan pokok ganja dan pelbagai jenis dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut. FOTO Danial Saad

Beliau berkata, polis turut merampas baja yang dipercayai untuk kegunaan penanaman pokok ganja itu, Proton Exora serta wang tunai.

Menurutnya, pokok ganja yang dianggarkan bernilai RM1,180 itu masing-masing berukuran 19 dan 40 sentimeter tinggi.

Katanya, suspek mengaku sekadar mahu mencuba menanam pokok itu selepas mendapati ada biji benihnya di dalam paket ganja kering yang dibeli sebelum ini.

"Suspek turut mengaku dadah yang dirampas adalah bagi kegunaannya sendiri.

"Namun kita akan menjalankan siasatan sama ada suspek terbabit dalam pengedaran atau sebaliknya memandangkan jumlah dadah yang dirampas agak banyak.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan kedua-duanya kini direman sehingga 19 September depan bagi siasatan lanjut," katanya.

Soffian berkata, keseluruhan nilai rampasan dadah dan aset berjumlah RM35,591 manakala kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan untuk 397 penagih dadah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6B, Seksyen 39A(2) dan 39(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 1:31 PM