Amar Singh menunjukkan pistol yang dirampas. FOTO  Norizuan Shamsuddin
Amar Singh menunjukkan pistol yang dirampas. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai dadah bernilai RM44,000, pistol dan peluru dalam dua serbuan berasingan di kondominium Jalan Dutamas Raya, Taman Duta Mas, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan tempat letak kereta kondominium berkenaan, kira-kira 3.45 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan badan polis merampas kunci rumah daripada suspek dan membuat pemeriksaan di kediaman berkenaan.

"Hasil pemeriksaan polis menemui empat paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 3.63 gram, empat biji pil ekstasi seberat 1.53 gram, satu paket ganja seberat 0.97 gram dan dokumen perjanjian perumahan.

"Soal siasat dilakukan terhadap suspek berkenaan membawa kepada serbuan kedua di rumah bersebelahan dan polis menangkap dua lelaki tempatan berumur 26 serta 41 tahun.

"Hasil pemeriksaan di kediaman berkenaan polis merampas ganja seberat 13,788 gram, dua paket heroin, satu tong cecair jernih disyaki dadah, pistol jenis Glock bersama satu kelopak berisi 10 butir peluru dan satu bungkusan plastik berisi 36 butir peluru hidup," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Amar, hasil serbuan itu polis turut menyita wang tunai dan harta milik tiga suspek terbabit dianggarkan RM67,200.

Katanya, semua suspek kini direman selama enam hari sehingga 23 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 1:11 PM