Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjawab soalan pada sidang akhbar mengenai perancangan semasa dan perkembangan belanjawan 2022 serta rancangan Malaysia ke 12 Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjawab soalan pada sidang akhbar mengenai perancangan semasa dan perkembangan belanjawan 2022 serta rancangan Malaysia ke 12 Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara agenda yang diberi tumpuan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam Belanjawan 2022 serta Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, antara lain yang diberi tumpuan adalah memperkukuh keselamatan negara dan mengekalkan tahap keupayaan serta kesiagaan ATM.

"Mindef akan memperkasakan lagi usaha membela kebajikan anggota, veteran ATM dan ahli keluarga mereka terutama dari sudut perumahan selain perkhidmatan kesihatan.

"Keselamatan negara menjadi keutamaan tertinggi. Di era Covid-19, fokus Mindef dan ATM tidak boleh lagi hanya terarah kepada usaha menguatkan pertahanan fizikal tetapi mesti turut memperkukuhkan pertahanan siber memandangkan platform maya semakin kerap digunakan khususnya dalam tempoh lebih setahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau turut menerima perincian perkara diperlukan oleh tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk berkaitan aset baharu.

Namun, katanya, situasi ekonomi yang tidak menentu ekoran pandemik harus diambil kira dan perbincangan sudah diadakan bersama tiga cabang itu untuk menumpukan kepada usaha menyelenggara aset sedia ada.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa inisiatif sudah dilaksanakan Mindef iaitu menyediakan 30,033 Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang dijangka siap pada 2030, 3,500 rumah SASaR dan 7,343 rumah lagi akan dibina di Kem Genting Klang serta Kem Wardieburn.

"Mindef merancang menaik taraf lima Hospital Angkatan Tentera dan membina lima poliklinik baharu.

"Setakat ini, poliklinik di Kem Penrissen sudah 99 peratus siap, tiga poliklinik sedang dibina dan satu lagi bakal dibina.

"Mindef juga bina 21 pos kawalan baharu iaitu dua di Semenanjung, lima di Sabah dan 14 di Sarawak. Usaha ini penting bagi memastikan kawalan sempadan negara dapat diperkasakan," katanya.

Berhubung arahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya setiap kementerian menunjukkan hasil dan memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) dalam tempoh 100 hari, beliau memaklumkan fokus diberikan kepada pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada keselamatan negara, kebajikan warga ATM serta rakyat.

Katanya, ia termasuk melaksanakan penerimaan Littoral Mission Ship (LMS) yang dijangka pada hujung bulan ini, penerimaan pesawat Maritime Surveillance Aircraft pada hujung November, menyediakan lebih 2,000 unit RKAT pada hujung Oktober dan membaik pulih lebih 100 unit rumah milik veteran ATM.

Menurutnya, Operasi Benteng yang dilaksanakan sejak Mei tahun lalu juga akan terus diperkukuh bagi mengawal sempadan negara daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:06 PM