Idris Musa


BAGI membela nasib anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Pertahanan merancang untuk membina lebih banyak Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Rumah Mampu Milik (RMM) dan melaksanakan inisiatif Rumah Mampu Sewa (RMS).  

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pada masa ini kementerian merancang untuk membina lebih 31,000 unit RKAT di 78 lokasi terpilih di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, ia adalah unit tambahan kepada lebih 9,000 unit RKAT yang sedang dibina untuk dimanfaatkan oleh pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Kementerian melalui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) juga merancang untuk membina lebih banyak RMM khusus untuk anggota dan veteran ATM melalui Skim Perumahan Penjawat 1 Malaysia (PPA1M) di seluruh negara. 

"Ia bakal menjadi unit tambahan kepada lebih 2,000 unit RMM di Taman LTAT Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta 303 unit RMM di Segari, Perak yang sedang dibina ketika ini. 

"Selain RMM yang akan dan sedang dibina ini, ada 1,650 unit RMM yang telah siap dibina dan dijual kepada anggota dan veteran ATM berkelayakan. Ia dibina di tiga lokasi iaitu di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agenda Perumahan Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, melalui agenda perumahan itu juga kementerian sedang merancang untuk membina lebih 5,000 unit RMM untuk anggota dan veteran ATM di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).

"Setakat Julai 2017, kementerian dan ATM mengenal pasti beberapa lokasi yang bersesuaian untuk melaksanakan pembinaan RMM SASaR ini," katanya.

Mengenai inisiatif RMS, katanya, ia bagi membantu veteran ATM yang tidak berkelayakan serta tidak mampu untuk membeli rumah sendiri.

"Saya amat berharap usaha dan pendekatan yang akan dan sedang dilaksanakan ini berupaya membantu membela nasib dan memelihara kebajikan anggota dan veteran ATM serta keluarga mereka.

“Saya juga akan pastikan usaha memelihara kebajikan mereka tidak akan terhenti setakat ini. Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan dari semasa ke semasa termasuk agenda pendidikan, kesihatan dan kos sara hidup.

"Yang penting sekarang ialah mesej kita kepada anggota dan veteran ATM, kita serius untuk membela nasib mereka dalam pelbagai aspek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 9:55 PM