HISHAMMUDDIN (tengah),  Dr Zambry  (kiri) dan Raja Mohamed Affandi  melihat pelan hospital veteran.
HISHAMMUDDIN (tengah), Dr Zambry (kiri) dan Raja Mohamed Affandi melihat pelan hospital veteran.
Shamsul Kamal Amarudin

Ipoh: Sebuah hospital khusus untuk veteran tentera bernilai lebih RM500 juta akan dibina di di Kem Gua Permai, Tambun.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dibina di atas tanah seluas 28,500 hektar milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berfungsi sebagai Perkampungan Kesihatan Veteran.

Katanya, ia akan menyediakan kemudahan poliklinik pakar geriatrik iaitu bidang kepakaran pesakit warga emas serta kepakaran lain seperti jantung dan respiratori, urologi, neuropsikiatri, perkhidmatan rehabilitasi, dialisis serta pusat jagaan bagi veteran ATM yang kurang upaya.

“Pembinaan hospital ini akan menggunakan kaedah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), menerusi perkongsian pintar dengan Kumpulan BP Healthcare (BPHG).

“Ia bagi memastikan veteran ATM mendapat perkhidmatan kesihatan berkualiti setanding hospital veteran di negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia.

“Apabila siap nanti, kemungkinan hospital itu akan turut dibuka kepada anggota tentera dan orang awam, bergantung pada keadaan dan keperluan,” katanya.

Hishammuddin bagaimanapun tidak memberitahu bila hospital itu akan dibina dan dijangka siap.

Beliau bercakap selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan Hospital Veteran dan Bersama Warga ATM Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Hishammuddin juga berkata, Kementerian Pertahanan merancang membina lima lagi Poliklinik ATM iaitu di Kluang, Seberang Takir, Kuantan, Sungai Petani dan Kuching dengan poliklinik pertama akan dibina di Kem Penrissen Kuching, dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, katanya, kerajaan akan menaik taraf lima hospital ATM sedia ada, membabitkan proses penggantian kelengkapan perubatan,menaik taraf bangunan dan menyediakan perkhidmatan pediatrik, urologi, geriatrik serta pembedahan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan akan berusaha menambah kuota haji untuk veteran tentera kepada dua kali ganda daripada 400 orang kuota yang diterima tahun lalu.

Beliau yakin kuota itu dapat ditambah atas hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi, termasuk usahanya bertemu dengan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, ia adalah kuota khas yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak membabitkan kuota yang diberikan kepada orang awam menerusi Tabung Haji.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 4:35 AM