MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memastikan setiap dasar dan polisi di kementerian itu serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaras dalam memuktamadkan inisiatif dirancang bagi 2022.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dasar berkenaan merangkumi Kertas Putih Pertahanan, Strategi Ketenteraan Negara, Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) dan Pelan Strategik Mindef 2021-2025.

Beliau berkata, antara lain tiga dokumen sokongan membabitkan Dasar Industri Pertahanan Negara dan Keselamatan Negara (DIPKN), Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) serta Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN).

"Fokus kedua kementerian adalah perancangan dan hala tuju Mindef bagi tahun 2022 yang akan dinamakan sebagai Pelan Tindakan 2022 atau PT22 merangkumi lapan teras utama.

"Teras terbabit adalah Kesiagaan dan Keupayaan, Kompetensi Pertahanan, Kebajikan, Kerjasama Awam-Tentera, Industri Pertahanan Nasional, Kerjasama Pertahanan Antarabangsa, Pemerkasaan Veteran ATM dan Kesiagaan Terhadap Krisis Berskala Besar.

"Kesemuanya teras baharu yang diwujudkan bertujuan meningkatkan pembabitan ATM dalam membantu usaha negara menangani krisis berskala besar seperti banjir dan ancaman penyakit.

"Teras itu akan berkuatkuasa serta-merta mengambil kira musim tengkujuh yang biasa berlaku di penghujung tahun," katanya dalam sidang media khas Pasca Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari di Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Sebelum itu, mereka menghadiri Bengkel Perancangan 100 Hari Kementerian Pertahanan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, semua formasi dan unit lapangan ATM bersiapsiaga dan akan diaktifkan bila-bila masa mengikut keadaan semasa.

Beliau berkata, pihaknya merancang melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pembinaan lima poliklinik baharu menjelang 2024 bagi menambahbaik perkhidmatan kesihatan anggota dan veteran ATM.

"Memperkasakan lagi inisiatif 'Trilateral Cooperative Arrangement' (TCA) yang dilaksanakan bersama Indonesia dan Filipina sejak 2017 demi memperkukuh kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi serta menambah 'Specialist Outreach Clinic' di kawasan pendalaman bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan rawatan kesihatan yang terbaik.

"Secara keseluruhan Mindef dan ATM mempunyai perancancangan jelas untuk bergerak ke hadapan selepas berjaya mencapai petunjuk prestasi utama KPI 100 hari pertama Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 7:58 PM