Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media di Wisma Pertahanan Mindef, Kuala Lumpur hari ini. Foto Eizairi Shamsudin
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media di Wisma Pertahanan Mindef, Kuala Lumpur hari ini. Foto Eizairi Shamsudin
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebuah pasukan petugas diwujudkan untuk mengkoordinasi usaha Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menguruskan agenda nasional memerangi pandemik Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pasukan petugas itu akan diketuai oleh timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Beliau berkata, penubuhan pasukan itu adalah sebahagian daripada usaha merealisasikan peningkatan petunjuk prestasi utama utama (KPI) sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, dan setiap minggu Ikmal Hisham akan memberikan laporan terus mengenai pasukan berkenaan kepadanya.

"Mindef dan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM perlu melaporkan tindakan yang dilaksanakan selama lebih setahun ini serta mencadangkan kepada saya apa lagi tindakan susulan yang boleh ditambah baik," katanya dalam sidang media khas selepas memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Menurutnya, langkah itu dibuat dengan turut mengambil kira Pelan Pemulihan Negara, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley, selain membantu usaha yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Hishammuddin berkata, kelebihan sedia ada Mindef dan ATM seperti infrastruktur di seluruh negara umpamanya Hospital Angkatan Tentera, hospital medan serta sekolah dalam kem ATM, boleh dimanfaatkan untuk penambahbaikan bagi memenuhi keperluan agenda nasional.

"Saya bersama timbalan saya serta kepimpinan Mindef dan ATM akan segera turun ke lapangan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada kakitangan serta anggota berkenaan keadaan operasi semasa," katanya.

Hishammuddin berkata dalam konteks ini, beliau akan bekerjasama dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan dan Penguatkuasaan khususnya dalam mengatur gerak semua agensi penguatkuasaan secara menyeluruh agar usaha memperkemaskan aspek ini dapat dilaksanakan.

"Selain itu Mindef dan ATM akan terus memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan rakan-rakan negara sekutu sedia ada, serta meneruskan hubungan baik bersama negara-negara lain yang telah saya usahakan sewaktu di Wisma Putra," katanya.

Turut hadir Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zin, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sani dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 9:30 PM