Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) memuktamadkan lapan teras utama baharu di bawah Pelan Tindakan 2022 (PT22) bagi menyelaraskan dasar kementerian itu.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, teras berkenaan merangkumi kebajikan; kesiagaan dan keupayaan; kompetensi pertahanan; kerjasama awam-tentera; industri pertahanan nasional; kerjasama pertahanan antarabangsa; pemerkasaan veteran ATM dan kesiagaan terhadap krisis berskala besar.

"Untuk tahun 2022, kita sudah pun mempunyai perancangan yang rapi di bawah Pelan Tindakan 2022 atau PT22. Saya tahu saudara saudarilah, tidak kira yang berceloreng hijau, biru, putih mahupun yang memakai baju biasa sebagai warga Mindef serta pemain industri, setiap seorang terbabit secara langsung dalam menggubal PT22 ini.

"Hari ini, kelapan-lapan teras berkenaan dimuktamadkan. Kalaupun saya tidak sebutkan di sini hari ini, saudara-saudari sepatutnya sudah tahu dan berbangga bahawa PT22 adalah hasil buah fikiran, cadangan, pandangan, pertimbangan saya, Ketua Setiausaha (KSU), Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan saudara-saudari semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira di sini, hari ini.

HISHAMMUDDIN berucap ketika majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Kanan Pertahanan 2022. FOTO Hairul Anuar Rahim
HISHAMMUDDIN berucap ketika majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Kanan Pertahanan 2022. FOTO Hairul Anuar Rahim

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Hishammuddin berkata, melalui lapan teras yang tergaris, Mindef dan ATM akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk membina lima poliklinik baharu menjelang tahun 2024 bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan untuk anggota dan veteran ATM.

"Kementerian akan menyerahkan lebih banyak unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) kepada anggota ATM yang terpilih di seluruh negara.

"Ini agenda peribadi saya untuk membela kebajikan anggota ATM terutama di era pandemik yang amat mencabar ini," katanya.

Kementerian juga akan memperkasakan lagi inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang dilaksanakan bersama Indonesia dan Filipina sejak 2017 demi memperkukuh kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 12:57 PM