- Foto hiasan
- Foto hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis Sarawak akan mengemukakan beberapa pertuduhan baharu terhadap pedofilia, Alladin Lanim, 40, yang sudah disabitkan kesalahan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada 17 Ogos lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pertuduhan itu akan dicadangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan dalam masa terdekat.

Menurutnya, ketika ditahan dalam serbuan anggota Bahagian D11 dan D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada 5 Julai lalu, pedofilia itu didapati memiliki ribuan bahan pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbitnya.

"Pada 16 dan 17 Ogos lalu, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching dan mengaku bersalah atas 18 pertuduhan jenayah seks.

"Berikutan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 48 tahun enam bulan serta 15 sebatan terhadapnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidi berkata, kes Alladin bukanlah kes tunggal berkaitan jenayah seksual kanak-kanak di negeri itu.

"Sejak Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dikuatkuasakan pada 10 Julai 2017 sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 260 kes disiasat mengikut akta itu.

"Sebanyak 76 peratus daripadanya sudah didakwa di mahkamah dengan lebih 3/4 daripadanya sudah dijatuhkan hukuman penjara manakala selebihnya masih dalam proses perbicaraan," katanya.

Mengenai laporan media sebelum ini bahawa Alladin ditahan di pusat kuarantin di Kuching selepas dia pulang dari Semenanjung, Aidi berkata, perkara itu adalah tidak tepat.

Ini kerana katanya, Alladin yang bekerja sebagai konduktor lapangan di sebuah ladang kelapa sawit di Biawak, Lundu tidak pernah keluar dari Sarawak sejak pulang ke negeri ini pada 2016.

"Tangkapan terhadap suspek dibuat dengan kerjasama Bukit Aman dan polis Sarawak bersama polis Australia serta beberapa agensi lain di negara ini.

"Suspek menjalankan kegiatannya di 'dark web' tanpa pendedahan identiti dan risikan dijalankan oleh Bukit Aman bersama polis Australia.

"Manakala polis Sarawak membekalkan maklumat serta risikan untuk mengesan lokasi suspek sehingga berjaya menahannya," katanya.

Kes Alladin turut mendapat liputan media luar negara kerana dia disenarai dalam laporan dalaman polis pelbagai negara pada 2019 dan antara 10 pesalah utama dikehendaki di dunia kerana eksploitasi terhadap kanak-kanak di internet.

Memetik laporan Sydney Morning Herald, pegawai penyiasat khas dari Polis Persekutuan Australia (AFP), Polis Queensland serta Pusat Analisis dan Laporan Transaksi Australia (Austrac) memainkan peranan penting dalam usaha memberkasnya yang melakukan kegiatan tanpa dikesan selama 14 tahun.

Detektif Daniel Burnicle yang juga Pemangku Pegawai Kanan AFP di Kuala Lumpur, memberitahu akhbar berkenaan bahawa Alladin juga mencabul kehormatan kanak-kanak di ladang dan di sebuah rumah panjang di Lundu.

Dia didakwa memaksa kanak-kanak menonton video pornografi selepas membenarkan mereka bermain permainan video di telefon bimbitnya.

Lelaki itu juga dikatakan bermegah melakukan perbuatan terkutuknya dalam forum dan memuat naik aktivitinya di 'dark web', sekali gus mengundang siasatan dan tindakan polis Australia selama dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 8:36 PM