Gambar pengebumian mangsa Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Gambar pengebumian mangsa Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kes kematian akibat Covid-19 di negara ini terus meningkat apabila merekodkan 361 kes hari ini, menjadikan keseluruhan 19,163 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 102 kes kematian di luar hospital (BID) membabitkan 71 warganegara dan 31 bukan warganegara.

"Selangor mencatatkan kes kematian tertinggi dengan 67 kes diikuti Johor (65), Sabah (54), Kedah (51), Kuala Lumpur (34) dan Negeri Sembilan (29).

"Kelantan pula mempunyai 17 kes kematian hari ini manakala Sarawak (10), Terengganu (9), Melaka (8), Perak (6), Pulau Pinang (5), Pahang (4) dan Perlis (2)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 19,733 kes direkodkan menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 1,900,467 kes.

Menurutnya, Sarawak kekal menjadi negeri kes harian tertinggi iaitu 3,100 kes berbanding Selangor iaitu 2,989 kes, Pulau Pinang (2,474); Sabah (2,067); Johor (1,867) dan Kedah (1,564).

Katanya, ia diikuti Kelantan (1,471); Perak (1,319); Terengganu (904); Pahang (700); Kuala Lumpur (537); Melaka (375); Negeri Sembilan (256); Perlis (74) dan Putrajaya (29).

"Pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ialah 248,673 kes, daripada jumlah itu 1,299 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 750 kes memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhan sebanyak 1,734,088 kes atau 91.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini tiada sejarah vaksinasi atau belum lengkap mendapat dua dos vaksin.

Katanya, daripada jumlah berkenaan 284,456 kes (15.0 peratus) tidak lengkap divaksinasi manakala hanya 8.7 peratus iaitu 166,379 kes lagi mempunyai sejarah vaksinasi lengkap.

"Ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap mendapat pelalian berkenaan adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 22,701 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya ialah 1,632,631 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 7:40 PM