GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Penutupan Pasar Awam Kepala Batas, di sini dilanjutkan selama 10 hari lagi selepas terdapat 41 kes positif Covid-19 dilaporkan di situ.

Terdahulu, pasar awam berkenaan yang diarahkan menghentikan operasi sementara selama tiga hari bermula Rabu lalu sepatutnya sudah boleh beroperasi semula esok.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, pembukaan semula pasar berkenaan terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 yang dikenalpasti dalam kalangan peniaga dan pekerja.

"Sehingga hari ini, 79 peniaga dan pekerja atau pembantu perniagaan sudah menjalankan ujian saringan.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 41 kes positif Covid-19 dikesan membabitkan 16 peniaga dan 25 pekerja.

"Berikutan itu, MBSP mengambil keputusan supaya pembukaan semula pasar ini yang ditetapkan esok ditangguhkan dalam usaha mengawal daripada penularan wabak berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara membuat keputusan pasar awam itu ditutup 10 hari bermula hari ini sehingga 22 Ogos.

"Penutupan dibuat bagi membolehkan PKD Seberang Perai Utara meneruskan pengesanan kontak rapat dan menjalankan aktiviti saringan serta kerja-kerja sanitasi di tapak.

"MBSP menyeru supaya peniaga, pembantu dan orang awam yang telah dikenalpasti sebagai kontak rapat serta diminta untuk menjalankan ujian saringan perlu segera hadir atau menghubungi Bilik Gerakan PKD Seberang Perai Utara di talian 04-5751833 bagi mendapatkan temujanji," katanya.

Pasar Awam di sini menjadi pasar keenam di kawasan Seberang Perai yang ditutup kerana Covid-19 selepas Pasar Awam Bagan Ajam; Bukit Mertajam; Chai Leng Park; Mak Mandin, Seberang Jaya dan Taman Sri Rambai.

Dalam perkembangan lain, Rozali berkata, Pasar Awam Bukit Mertajam yang ditutup buat kali kedua selepas mengesan 59 kes positif Covid-19 akan dibuka semula esok.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 1:17 PM