BERNAMA

Putrajaya: Kestabilan politik dalam negara pada masa ini akan membolehkan Kerajaan Perpaduan memberikan fokus terbaik untuk membangun dan mengembangkan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik pada tahun hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menumpukan usaha untuk mempertingkatkan pelaburan domestik dan menarik lebih banyak pelaburan dari luar bagi merancakkan dan mengembangkan lagi ekonomi negara.

"Fokus (kerajaan) kepada kekuatan ekonomi sama ada pelaburan domestik, pelaburan luar dan ini ada kaitan umpamanya dari segi tatakelola, kemudahan menjalankan perniagaan, kecepatan, kepantasan, kelulusan selain mengurangkan karenah birokrasi.

"...program ekonomi ni dia ada kaitan dengan isu yang saya sebut negara Madani. Jadi keutamaan kita (pada tahun hadapan) mengurus negara ini, membetulkan, memperbaiki dan meningkatkan (ekonomi)," katanya dalam Sesi Dialog Perdana Menteri Bersama Ketua Pengarang serta Pengarang Kanan Media Elektronik, Cetak dan Dalam Talian, di sini, hari ini.

Anwar berkata, selain itu kerjasama yang diterima daripada Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan juga secara tidak langsung membantu pentadbirannya lebih tersusun dan berkesan.

Perdana Menteri berkata, walaupun pengalaman setahun menerajui pimpinan disifatkannya amat mencabar, namun beliau berbangga kerana jentera parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan nampak memberi kerjasama penuh.

"Langkah kita ambil sama ada tatakelola, menentang rasuah, menetapkan syarat-syarat ketelusan dalam perolehan dan program-program Madani, ekonomi serta program-program lain tu nampak tidak menghadapi masalah," katanya yang juga Menteri Kewangan.

Selain ekonomi, katanya kerajaan juga akan memastikan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris terus diperkasakan di bawah sistem pendidikan negara.

"Peralihan tenaga dan transformasi digital memerlukan satu anjakan paradigma yang cukup kuat termasuk apa yang saya bicarakan tentang bahasa Melayu yang mantap dan keutamaan diberikan kepada bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan mulai tahun hadapan," katanya.

Anwar dalam masa yang sama turut melahirkan kebimbangan terhadap orientasi pemikiran kolot berasaskan fahaman perkauman sempit serta mempolitikkan kefahaman Islam sehingga menimbulkan pemikiran yang agak jumud selain pantas menghukum seseorang.

"Saya sekali lagi tegaskan kita kena ada had. Berbicara itu bebas, terangkan tentang soal agama itu bebas, tapi kalau kita sampai mudah menghukum, mengkafirkan dengan mudah, itu harus tunduk kepada undang-undang dan peraturan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 4:13 PM