DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob.
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Persetujuan bersama antara kerajaan dan pemimpin pembangkang dicapai dalam menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam itu, tumpuan diberikan kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak.

"Selain itu, membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

"Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pertemuan yang berlangsung di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya itu dihadiri Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng.

Ismail Sabri berkata, persetujuan bersama juga membabitkan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

"Menjunjung kasih di atas nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara, saya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin pembangkang bagi merealisasikan titah hasrat Tuanku," katanya.

Sementara itu, Anwar dalam sidang media selepas pertemuan terbabit berkata, pelbagai isu permasalahan rakyat dibangkitkan pembangkang untuk diselesaikan kerajaan.

"Satu permulaan yang baik, kita kemukakan mengenai menangani permasalahan Covid-19 yang lebih berkesan dan program pro rakyat yang lebih menyentuh masalah golongan miskin.

"Ini bagi mententeramkan dan mengurangkan suhu politik, kalau program pro rakyat dan pandemik Covid-19 diatasi dengan lebih berkesan, kita tiada masalah," katanya.

Menurutnya, selain itu, Guan Eng mengemukakan beberapa isu ekonomi termasuk moratorium bank yang dibangkitkan berulang kali manakala Mohamad pula membangkitkan soal kesan wabak Covid-19 di beberapa kawasan.

Anwar berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ismail Sabri atas jemputan itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri ini yang mewakili Umno, dia bincang dengan Anwar dan DAP.

"Jadi saya gurau dengan dia (Ismail Sabri), no Anwar no DAP (tiada Anwar tiada DAP) ini nampak dah berubah.

"Dia cakap ini kerana semangat titah Tuanku untuk bekerjasama," katanya.

Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan tidak akan 'mempersulitkan' undi percaya terhadap Ismail Sabri jika dia mengambil langkah demi kepentingan rakyat.

"Kita beritahu kalau suasana begini, kalau program-program pro kepada rakyat, kita tak akan persulitkan (undi percaya)," katanya.

Ditanya mengenai isu penyertaan pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara seperti ditawar kerajaan, Anwar berkata, perkara itu tidak dibincangkan.

Menurutnya, soal jawatan kabinet juga tidak dibincangkan dan memang menjadi pendirian PH untuk tidak meminta apa-apa jawatan, sebaliknya memberi tumpuan kepada masalah wabak dan ekonomi.

"Kita tidak datang untuk minta jawatan, isu khusus untuk ekonomi rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 5:53 PM