Pasar Awam Mak Mandin di Butterworth antara yang ditutup. FOTO Danial Saad
Pasar Awam Mak Mandin di Butterworth antara yang ditutup. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Sebanyak 17 daripada 30 pasar awam termasuk sebuah kompleks penjaja di bawah seliaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) ditutup sepanjang tempoh lima bulan ini, akibat penularan wabak Covid-19.

Terbaharu adalah Pasar Awam Sungai Dua, di sini apabila diarahkan menghentikan operasi sementara ekoran terdapat empat peniaga termasuk seorang pembantu disahkan dijangkiti wabak berkenaan.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pasar awam itu berkenaan diminta menghentikan operasi mereka selama tiga hari atau sehingga dimaklumkan semula bermula, Rabu ini bagi membolehkan kerja sanitasi serta pengesanan kontak rapat dijalankan.

"MBSP mengambil maklum berkaitan kegusaran orang ramai berhubung kes positif di pasar awam ini dan sentiasa berhubung dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara bagi mendapatkan maklumat lanjut serta perkembangan kes ini.

"Dimaklumkan perkara ini dalam perhatian dan siasatan lanjut pihak PKD Seberang Perai Utara bagi penilaian risiko berkaitan jangkitan di Pasar Awam Sungai Dua.

"Berikutan terdapat kes positif Covid-19, MBSP mengambil inisiatif awal dengan mengarahkan semua peniaga di pasar awam itu supaya menghentikan sementara operasi perniagaan selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat ini atau sehingga dimaklumkan semula," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Buat masa ini, hanya dua sahaja pasar awam di Seberang Perai iaitu Pasar Awam Sungai Dua dan Pasar Awam Taman Selamat ditutup akibat Covid-19 manakala 15 lagi sudah dibenarkan dibuka.

Dalam pada itu, Rozali berkata, Pasar Awam Taman Selamat di Seberang Perai Tengah yang ditutup selama 10 hari sejak minggu lalu selepas merekodkan 12 kes positif Covid-19 dijangka dibuka semula, Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 9:15 PM