Pasar Awam Taman Bagan diarah tutup ekoran penularan Covid-19.
Pasar Awam Taman Bagan diarah tutup ekoran penularan Covid-19.

Nur Izzati

Bukit Mertajam: Hampir setiap minggu, terdapat pasar awam kendalian Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diarah tutup ekoran penularan wabak Covid-19.

Kali ini membabitkan Pasar Awam Taman Bagan di daerah Seberang Perai Utara dan Pasar Awam Permatang Tinggi di daerah Seberang Perai Tengah.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, hasil maklumat diterima daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di kedua-dua daerah memaklumkan terdapat sekurang-kurangnya tiga kes positif Covid-19.

"Oleh itu, operasi kedua-dua pasar ini terpaksa dihentikan sementara bermula Sabtu ini untuk membolehkan ujian saringan termasuk sanitasi tapak dilakukan.

"MBSP memahami kegusaran orang ramai berhubung kes positif di pasar awam dan kami sentiasa berhubung dengan PKD berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut serta perkembangan kes ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pada Selasa minggu lalu, dua pasar kelolaan MBSP iaitu Pasar Awam Tasek Gelugor dan Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara diarah tutup selepas terdapat penularan Covid-19.

Beberapa hari lalu, dua pasar awam iaitu Pasar Awam Sri Bandar dan Pasar Awam Kampung Baru turut dihentikan operasi sementara disebabkan penularan wabak berkenaan.

Ini menjadikan keseluruhan 14 pasar awam di bawah kendalian MBSP diarah tutup ekoran ancaman virus berbahaya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 10:46 PM