Siti Rohana Idris


Kota Bahru: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan menyasar RM300,000 bagi kutipan pembayaran cukai jalan dan memperbaharui lesen memandu menerusi kaedah pandu lalu.

Setakat dilancarkan semalam sebanyak RM10,000 sudah diperoleh menerusi pembayaran yang dibuat menerusi kaunter pandu lalu di perkarangan JPJ di Panji itu.

Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata, kaedah itu diperkenalkan bagi memudahkan orang ramai bagi menyelesaikan urusan pembayaran memandangkan tarikh penamatan moratorium semakin hampir.

"Berikutan bakal tamatnya moratorium pada 30 September ini, kita khuatir orang ramai akan berpusu-pusu ke JPJ maka salah satu kaedah yang kita ambil untuk mengekang penularan wabak Covid-19, kita memperkenalkan pembayaran secara pandu lalu.

"Untuk semalam, seramai 150 pengguna jalan raya sudah membuat pembayaran menerusi kaedah ini dan kita lihat jumlahnya menyamai dengan bilangan pengunjung yang datang ke kaunter.

"Kaedah ini disifatkan sangat mudah dan cepat malah masa yang diambil adalah sekitar lima minit sahaja," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hanif Yusabra berkata, kaunter pandu lalu itu dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 3 petang manakala pada Jumaat dan Sabtu pula sehingga jam 1 tengah hari.

Hanif Yusabra Yusuf.
Hanif Yusabra Yusuf.

Katanya lagi, urusan pembayaran juga boleh dibuat di empat kaunter cawangan JPJ lain termasuk Gua Musang, Machang dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

"Kita harapkan dengan kaedah ini dapat mempercepatkan urusan pembayaran dalam masa yang sama dapat mengelakkan daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan.

"Jika ada yang masih ingkar, mereka bakal berdepan saman serta kompaun dan boleh dituduh di bawah Seksyen 26(1) dan 23(1) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)," katanya.

Seorang pengguna jalan raya, Eh Pin Chau Lan, 49, dia mengambil peluang hari ini untuk memperbaharui cukai jalan yang baharu saja tamat tempoh selain membayar dua saman kesalahan lalu lintas.

Dia berkata, kaedah pandu lalu sebegitu sangat mudah bagi urusan pembayaran lesen dan cukai jalan terutama dalam musim pandemik Covid-19 bagi mengelakkan berkumpul di kaunter pejabat JPJ.

"Untuk proses pembayaran hari ini, saya hanya mengambil masa selama 10 minit sahaja dengan tidak perlu keluar daripada kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 3:11 PM