Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyasar kutipan hasil saman sebanyak RM600,000 menerusi inisiatif pengurangan kompaun sempena Hari Kemerdekaan yang akan berakhir 16 September.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, diskaun sehingga 70 peratus dikenakan sejak inisiatif bermula 17 Ogos lalu, yang membabitkan saman bagi semua kesalahan tersenarai di bawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003 kecuali kes didaftarkan di mahkamah.

Katanya, sehingga semalam, pihaknya sudah memperoleh RM54,273.

"Tawaran pengurangan kompaun turut diberikan kepada pemandu atau pemilik kenderaan warga asing kecuali bagi kesalahan yang sudah dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Justeru saya menyeru orang ramai untuk hadir ke JPJ bagi menyelesaikan saman masing-masing," katanya yang ditemui pada Program Agihan Jalur Gemilang secara pandu lalu di pekarangan pejabat JPJ di sini, hari ini.

Hanif Yusabra berkata, menerusi program sama tahun lalu, pihaknya berjaya mengutip hasil berjumlah RM718,764.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan kesesakan di kaunter, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan pandu lalu untuk pengguna termasuk bagi mereka yang mahu memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

Menurutnya, kaedah itu lebih mudah dan menjimatkan masa dengan 1,842 kenderaan sudah melalui kaunter pandu lalu yang dibuka setiap hari sejak 10 hari lalu.

"Kita harapkan kaedah ini dapat mempercepatkan urusan (perbaharui cukai dan lesen), dan dalam masa sama dapat mengelakkan pengguna daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya.

Terdahulu, pada program itu, sejumlah bendera diagihkan kepada orang ramai dengan kerjasama Kelab Peminat Eddie Hamid. Hadir sama, penyanyi Datuk Eddie Hamid dan pengerusi kelab berkenaan, Mohd Rozi Abd Rahim.

Hanif Yusabra Yusuf (tengah) memasang Jalur Gemilang di motosikal anggota JPJ ketika Program Agihan Jalur Gemilang Secara Pandu Lalu dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Peminat Eddie Hamid di perkarangan JPJ Panji. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hanif Yusabra Yusuf (tengah) memasang Jalur Gemilang di motosikal anggota JPJ ketika Program Agihan Jalur Gemilang Secara Pandu Lalu dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Peminat Eddie Hamid di perkarangan JPJ Panji. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 1:41 PM