Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Orang ramai yang berhasrat menghias kenderaan mereka dengan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 dinasihatkan tidak terlalu ghairah hingga mengabaikan soal keselamatan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang Adenan Md Isa berkata, tiada halangan bagi mereka yang ingin menghias kenderaan dengan bendera selagi ia tidak mengundang bahaya pada diri sendiri mahupun orang lain ketika di jalan raya.

"Tiada halangan untuk memasang bendera selagi tidak mengubah struktur pada kenderaan. Bagaimanapun, kita menasihatkan supaya jangan terlalu ghairah dan abai soal keselamatan ," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Bulan Kemerdekaan ke-64 di Ibu Pejabat JPJ, Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Dalam pelancaran itu, pihak JPJ negeri memasang jalur gemilang pada semua kenderaan mereka, di luar pagar, bangunan dan pejabat termasuk menghulurkan bendera kepada pelanggan yang hadir untuk berurusan.

ANGGOTA JPJ  memasang Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-64. FOTO Danial Saad
ANGGOTA JPJ memasang Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-64. FOTO Danial Saad

Dalam pada itu, Adenan berkata, pihaknya membuka kaunter pandu lalu bagi memudahkan urusan pelanggannya untuk memperbaharui lesen memandu (LMM) dan lesen kenderaan motor (LKM) persendirian yang bermula hari ini.

"Untuk makluman, tempoh moratorium pelanjutan pembaharuan LKM dan LMM termasuk lesen GDL/PSV akan berakhir pada 30 September depan.

"Oleh itu, bagi memudahkan pelanggan untuk berurusan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengelak kesesakan, selain membuka kaunter (dalam pejabat) setiap hari, kita juga turut membuka kaunter pandu lalu yang ia beroperasi dari Isnin hingga Jumaat," katanya.

Sementara itu, Adenan berkata, terdapat hampir 100,000 saman aktif dalam pelbagai kesalahan masih belum dilunaskan.

"Berikutan itu, mereka boleh hadir membayar saman berkenaan sehingga 16 September ini kerana boleh menikmati tawaran pembayaran saman sehingga 70 peratus terhadap semua saman JPJ yang belum dijelaskan tidak termasuk kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah atau yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

"Walau bagaimanapun, bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, pesalah dikehendaki hadir semula ke pejabat JPJ (cawangan atau negeri) bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 12:47 PM