HANIF (berdiri, kanan) mengagihkan bubur lambuk di samping mengadakan advokasi keselamatan jalan raya kepada pelanggan. FOTO ihsan JPJ
HANIF (berdiri, kanan) mengagihkan bubur lambuk di samping mengadakan advokasi keselamatan jalan raya kepada pelanggan. FOTO ihsan JPJ
Ahmad Hasbi


Seremban: Dalam kesibukan menjalankan tugas hakiki, kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan tidak lupa menyantuni pelanggan yang berurusan di kaunter dengan mengagihkan bubur lambuk sempena Ramadan, semalam.

Sebanyak 500 bekas bubur lambuk yang disediakan sendiri kakitangan JPJ itu diagihkan kepada orang ramai bermula jam 2 petang yang turut dihadiri Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf.

Hanif Yusabra berkata, program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan itu juga sempena Sambutan Hari JPJ Ke-76 dalam usaha meneruskan hasrat murni berkongsi rezeki sempena kehadiran bulan mulia ini.

"Tujuan program ini diadakan adalah bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang barakah ini dengan berkongsi rezeki sesama warga JPJ Negeri Sembilan termasuk juga kakitangan di Pejabat-pejabat Cawangan Kuala Pilah, Jempol, UTC Seremban dan SP Pedas.

"Bubur lambuk ini juga turut diagihkan kepada pelanggan yang hadir berurusan di kaunter," katanya ketika ditemui wartawan.

Hanif Yusabra berkata, beliau bersama Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan, Norazman Annuar serta Ketua Bahagian dan Cawangan mengagihkan bubur lambuk dan dalam masa sama menjalankan advokasi keselamatan jalan raya dengan mengedarkan risalah kepada pelanggan JPJ.

"Dalam program pada kali ini, sebanyak 500 pek bubur lambuk diagihkan.

"Usaha murni seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat jabatan kepada kakitangan dan juga orang awam.

"Sebelum itu, kakitangan kami sama-sama bergotong-royong menyiapkan bubur lambuk ini dan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat berpasukan dalam kalangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 1:22 PM