Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Sebanyak 3.78 juta kenderaan di seluruh negara direkodkan didapati belum memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) sehingga 15 November lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadli Ramli berkata, pihaknya menjangkakan akan berlaku kesesakan luar jangka untuk proses berkenaan menjelang tarikh akhir pada 31 Disember nanti.

"Kita memang menjangkakan berlaku serbuan pada saat-saat akhir kerana situasi itu adalah perkara biasa yang berlaku setiap kali tarikh akhir sudah semakin dekat.

"'Serbuan' luar jangka oleh orang awam itu nanti bukan sahaja akan berlaku di pejabat JPJ, malah ia juga berlaku di pejabat pos," katanya pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, malam tadi.

Turut hadir dalam operasi itu adalah Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail dan Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf.

Aedy berkata, pihaknya juga akan membuka kaunter JPJ yang berkaitan di seluruh negara pada hujung minggu mulai hari ini dalam usaha mengurangkan kesesakan bagi urusan memperbaharui LKM.

"Malah pada hari biasa (hari bekerja), kita juga akan melanjutkan waktu operasi kaunter dari jam 4 petang kepada jam 5 petang termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

HANIF Yusabra Yusuf (kanan) bersama pegawai JPJ memeriksa kenderaan perdagangan dalam Op Rentas Sempadan di Kawasan R&R Seremban-Port Dickson hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
HANIF Yusabra Yusuf (kanan) bersama pegawai JPJ memeriksa kenderaan perdagangan dalam Op Rentas Sempadan di Kawasan R&R Seremban-Port Dickson hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.

"Pada masa sama, kami menggalakkan orang ramai yang mahu memperbaharui LKM yang tiada kesulitan dalam urusan terbabit supaya melakukannya secara dalam talian bagi mengelakkan kesesakan di kaunter," katanya.

Beliau berkata, buat masa kini, pihaknya masih memberi peluang kepada orang ramai yang belum memperbaharui LKM memandangkan masih di dalam tempoh moratorium perbaharui LKM sehingga 31 Disember ini.

"Sekiranya tiada arahan daripada kerajaan untuk menyambung moratorium perbaharui LKM selepas tempoh berkenaan, kita akan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada.

"Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya segera memperbaharui LKM kenderaan mereka di mana-mana kaunter JPJ, pejabat pos atau di UTC selain secara dalam talian," katanya.

Dalam Operasi Bersepadu itu yang dijalankan bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi, seramai 188 pegawai dan anggota termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) selain JPJ.

Katanya, buat julung kalinya, pihaknya mengadakan operasi bersepadu membabitkan tiga cawangan negeri JPJ iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Sebanyak 3,210 kenderaan diperiksa dan 596 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 8:18 AM