Nor Fazlina Abdul Rahim


SEBANYAK 100,000 kenderaan dianggarkan memasuki Kelantan mulai semalam sehingga Hari Raya Aidiladha.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf, peningkatan itu berdasarkan jumlah individu yang dijangka pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya itu.

Sehubungan itu katanya, JPJ melaksanakan operasi dikenali Ops Patuh sempena Aidiladha bermula semalam sehingga Ahad ini bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Untuk Ops Patuh kali ini, kita tidak mengadakan sekatan jalan raya kerana bagi mengelak berlaku kesesakan trafik.

"Sebaliknya kita menggunakan kaedah pemantauan dan pemerhatian yang memfokuskan kesalahan utama seperti tidak memakai tali pinggang dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Pada masa sama, kita menempatkan pegawai dan anggota di 17 lokasi yang dikenal pasti," katanya pada sidang media selepas Ops Penguatkuasaan Khas JPJ sempena Aidiladha di Terminal Bas Lembah Soreh di Kota Bharu, hari ini.

HANIF Yusabra Yusuf ketika pemantauan sempena melaksanakan operasi dikenali Ops Patuh menjelang Aidiladha di Terminal Bas Lembah Sireh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HANIF Yusabra Yusuf ketika pemantauan sempena melaksanakan operasi dikenali Ops Patuh menjelang Aidiladha di Terminal Bas Lembah Sireh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengulas lanjut katanya, sejak Ops Patuh dilaksanakan semalam, sebanyak 121 notis saman dikeluarkan membabitkan nilai kompaun RM27,340.

"Justeru, kita mengingatkan pemandu yang pulang ke kampung supaya mematuhi undang-undang dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 10:41 AM