DR Asmadi (kanan) meninjau barangan keperluan asas dapur zakat disediakan MUIP di Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI). FOTO Mohd Rafi Mamat
DR Asmadi (kanan) meninjau barangan keperluan asas dapur zakat disediakan MUIP di Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI). FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan peruntukan RM5 juta bagi menjayakan program dapur zakat membabitkan 663 masjid dan surau di negeri ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, program mula diperkenalkan Jun lalu membabitkan bantuan kewangan RM1,000 kepada masjid dan surau dibenarkan mendirikan solat Jumaat.

Menurutnya, bantuan kewangan itu digunakan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau terbabit untuk menyediakan bantuan keperluan asas sebelum disumbangkan kepada masyarakat setempat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Program fasa pertama bermula Jun hingga Disember dan sekiranya RM1,000 tidak mencukupi, AJK masjid dan surau boleh membuat permohonan tambahan mengikut keperluan.

"Antara barangan disediakan ialah beras, sardin, bihun, gula, tepung, kicap, minyak masak dan biskut untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di kampung serta taman.

"Saya difahamkan sambutan terhadap bantuan program dapur zakat begitu menggalakkan," katanya selepas meninjau bekalan barangan keperluan asas program dapur zakat disediakan Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI), di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 1:46 PM