Khairulmizan Yahya


Pekan: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) buat pertama kali menetapkan tiga kadar zakat fitrah di negeri itu tahun ini.

Selain mengekalkan kadar RM7 seperti tahun sebelumnya, MUIP turut memberi pilihan kepada golongan berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut kadar berdasarkan jenis beras digunakan.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kadar itu diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan jawatankuasa perundingan hukum syarak Pahang.

"Kadar zakat fitrah RM7 adalah minimum dan digalakkan bagi mereka yang menggunakan beras wangi atau beras putih import pada kadar RM14.

"Bagi (rakyat) yang menggunakan beras (jenis) 'Basmathi' atau beras perang atau setara pula kadar zakat (digalakkan) adalah RM21 seorang.

"Ini adalah kali pertama MUIP memperkenalkan tiga kadar zakat fitrah untuk rakyat Pahang," katanya dalam sidang media di pejabat MUIP, hari ini.

Ahmad Hairi turut memaklumkan, urusan pembayaran zakat fitrah boleh mula dilalukan pada permulaan Ramadan melalui 934 amil yang sudah ditauliahkan MUIP.

Katanya, pembayaran melalui amil yang tidak ditauliahkan adalah tidak dibenarkan dan mereka yang menyamar sebagai amil zakat boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Syariah 2013.

"Selain menunaikan zakat fitrah melalui amil dilantik, orang ramai juga boleh melakukannya secara dalam talian di e-zakat MUIP," katanya lagi.

Sementara itu, Ahmad Hairi berkata, MUIP juga akan mengagihkan bantuan menyambut Ramadan kepada 10,012 ketua isi rumah (KIR) membabitkan peruntukan RM4.6 juta.

Katanya, sejumlah RM4.2 juta turut disediakan MUIP untuk diagihkan kepada 682 masjid dan surau yang mendapat kebenaran menunaikan solat Jumaat.

"MUIP juga akan mengagihkan bantuan tahunan Aidilfitri kepada 16,893 KIR dengan peruntukan berjumlah RM7.8 juta serta bantuan Aidilfitri kepada saudara baru berjumlah RM1.5 juta membabitkan 8, 627 penerima," katanya lagi.

AHMAD Hairi (dua dari kanan) ketika majlis pengumuman kadar zakat fitrah Pahang di Pejabat MUIP, Pekan. FOTO Khairulmizan Yahya.
AHMAD Hairi (dua dari kanan) ketika majlis pengumuman kadar zakat fitrah Pahang di Pejabat MUIP, Pekan. FOTO Khairulmizan Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 1:59 PM