Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Istana Negara kembali menjadi tumpuan media, hari ini bagi membuat liputan berhubung perkembangan terkini isu politik negara.

Petugas media mula memenuhi kawasan di pintu satu Istana Negara sejak 7 pagi, bagi menanti sebarang kemungkinan, termasuk ketibaan pemimpin politik untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Ia selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam memutuskan menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan beberapa Ahli Parlimennya juga dilapor sudah menandatangani aku janji menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai jumlah sokongan majoriti Ahli Parlimen yang kini dimiliki kerajaan PN dan Muhyiddin.

Susulan itu, beberapa 'mesyuarat' berlangsung sejak malam tadi di beberapa lokasi termasuk kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara serta sebuah berdekatan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara.

Difahamkan juga, satu mesyuarat membabitkan menteri-menteri UMNO dan Perdana Menteri juga dijangka di adakan di Pejabat Perdana Menteri tengah hari ini.

SUASANA di pekarangan Istana Negara dipenuhi pengamal media. FOTO Aswadi Alias
SUASANA di pekarangan Istana Negara dipenuhi pengamal media. FOTO Aswadi Alias

Dalam pada itu, perkembangan di pintu Istana Negara setakat 9.45 pagi ini, mendapati belum kelihatan sebarang kenderaan kenamaan memasuki pintu utama istana.

Bagaimanapun, selain media, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah mengawal pergerakan memasuki kawasan Istana Negara dengan kira-kira 20 anggota sudah ditempatkan di pekarangan pintu masuk berkenaan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 10:49 AM