FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 720 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan menjalani kuarantin wajib, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 111,895 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai 2020 dengan 7,948 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 76 hotel dan 13 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Bagi isu tapak binaan pula, sebanyak 61 pemeriksaan di seluruh negara dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati 59 tapak beroperasi dengan 57 daripadanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP), dua tapak binaan tidak patuh SOP, manakala dua tapak binaan tidak beroperasi. Secara keseluruhannya, CIDB sudah melakukan 14,798 pemeriksaan di 8,388 tapak binaan sejak 20 April 2020," katanya.

Mengulas mengenai barang keperluan asas, beliau berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 718 pemantauan harian bagi kategori peruncit (534), pemborong (159) dan pengilang (59), semalam.

"KPDNHEP juga melakukan 1,745 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 1,715 premis mematuhi SOP, 28 premis diberi nasihat, satu premis dikenakan amaran serta satu lagi premis dikompaun.

"Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil serta mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 7:05 PM