GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sembilan lokaliti di Sabah, Pahang dan Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Khamis ini sehingga 18 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein Hussein berkata, kawasan yang dikenakan PKPD ialah Kampung Banjar, Keningau, Sabah; Kem 3 Sibulu, Tenom, Sabah; Penampang Baru, Penampang, Sabah dan Depot Tahanan Imigresen Tawau, Sabah.

"Selain itu tiga lokaliti di Terengganu iaitu Mukim Manir, Kuala Terengganu; Taman Rakyat Bestari Fasa 1 – 4 dan Rumah Awam Kos Rendah 1 & 2.

"Manakala di lokaliti dalam daerah Raub, Pahang yang dikenakan PKPD ialah Felda Tersang 1, 2 dan 3, Mukim Batu Talam dan FELDA Krau 1, Mukim Gali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, mengulas berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Hishammuddin berkata, seramai 215 individu dikompaun kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Pasukan Task Force Operasi Pematuhan dengan kekuatan 19,767 anggota melaksanakan 82,244 pemeriksaan dan snap check Covid-19 bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.

"Bagi sektor perkilangan pula sebanyak 60 premis diarahkan ditutup serta merta kerana gagal mematuhi SOP," katanya.

Katanya, menerusi Op Benteng pula seramai 28 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) ditahan dan merampas tiga kenderaan darat.

"Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga membuat 814 pemantauan khas harian ke atas 10 jenis bekalan barangan keperluan asas terdiri daripada peruncit (620), pemborong (152) dan pengilang (32).

"KPDNHEP juga melakukan 2,379 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, kesemua premis mematuhi SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:08 PM