GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Seramai 3,197 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 12 orang disahkan positif Covid-19, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 637,279 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 32,973 majikan.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,947 orang disahkan positif Covid-19 manakala 627,332 lagi negatif.

"Sehingga kini, sebanyak 1,534 klinik terbabit dengan program saringan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ismail berkata, pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil dan mencukupi.

Beliau berkata, semalam, KPDNHEP telah membuat 747 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan di peringkat peruncit (549), pemborong (166) dan pengilang (32).

"KPDNHEP juga melakukan 1,942 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan kesemua premis yang diperiksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 8:13 PM