ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP memeriksa stor penyimpanan tong gas LPG disebuah premis di Port Dickson yang disyaki menjalankan kegiatan penyelewengan LPG bersubsidi di Port Dickson. FOTO Ihsan KPDNHEP
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP memeriksa stor penyimpanan tong gas LPG disebuah premis di Port Dickson yang disyaki menjalankan kegiatan penyelewengan LPG bersubsidi di Port Dickson. FOTO Ihsan KPDNHEP
BERNAMA

Putrajaya: Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi selepas membuat serbuan di sekitar bandar Seremban serta Port Dickson dan menahan enam lelaki, semalam.

Pengarah penguat kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, dalam serbuan di sebuah stor, pasukan KPDNHEP telah menemukan 126 tong LPG seberat 50 kilogram (kg) yang berisi dan kosong untuk kegunaan industri, 136 tong LPG 14 kg berisi dan kosong untuk kegunaan domestik dan 1,500 kartrij butana cecair berisi dan kosong.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu ialah membawa tong yang berisi LPG domestik 14kg bersubsidi daripada pemborong di sekitar Klang dan Beranang ke stor berkenaan, dan memindahkan gas bersubsidi itu ke tong 50 kg (kegunaan industri) serta tin gas untuk kegunaan dapur mudah alih 230 gram.

"Turut disita ialah sebuah lori kargo am had muatan lima tan yang pada masa itu dipenuhi dengan tong gas LPG 14kg, serta peralatan-peralatan yang digunakan untuk pemindahan gas LPG seperti hos paip, alat timbang dan beberapa bungkus plastik ais bagi tujuan aktiviti pemindahan," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, dua orang lelaki tempatan dan empat lelaki warganegara Myanmar berumur 20 hingga 30 tahun yang berada di premis itu ditahan bagi membantu siasatan, dan nilai rampasan serta sitaan dianggarkan bernilai RM147,940.

Azman berkata, operasi itu dilaksanakan hasil risikan selama tiga minggu dan premis berkenaan didapati telah beroperasi sejak dua bulan yang lepas.

Katanya, jika sabit kesalahan, ia boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat, ia boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 7:32 PM