Mohd Khidir Zakaria


EMPAT individu dikesan menyamar sebagai mekanik bengkel baiki kenderaan ketika memindahkan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke dalam tong LPG industri di Seremban, baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berbuat demikian bagi mengelak aktiviti itu dikesan pihak berkuasa.

Helah mereka terbongkar selepas sebuah stor di Jalan Tampin - Senawang, diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Seksyen Siasatan, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, pada operasi 18 Ogos lalu, pihaknya menemui pelbagai peralatan yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, ia termasuk tong berisi gas LPG untuk kegunaan domestik dan industri.

"Kami turut menyita treler dengan had muatan 40 tan yang pada masa itu dipenuhi dengan tong gas LPG 14 kilogram (kg) berserta lori lima tan yang dipenuhi dengan tong gas LPG 50 (kg)," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan lanjut, individu berkenaan menerima tong LPG domestik daripada sebuah syarikat berlesen di Kelantan.

Bagaimanapun katanya, tong itu tidak dihantar ke destinasi ditetapkan, tetapi dibawa ke premis itu untuk dipindahkan ke tong LPG industri.

"Premis itu juga didapati sudah beroperasi sejak empat bulan yang lalu," katanya.

Shamsul Nizam berkata, semua barangan berkenaan dan lori dirampas untuk siasatan lanjut dan jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM148,572.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dan tiga orang lelaki warganegara Myanmar berusia antara 22 hingga 37 tahun yang berada di premis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 9 (2), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Penguatkuasa KPDNHEP ketika sedang membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis yang memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong LPG industri di jalan Tampin - Senawang, Seremban. FOTO Ihsan KPDNHEP
Penguatkuasa KPDNHEP ketika sedang membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis yang memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong LPG industri di jalan Tampin - Senawang, Seremban. FOTO Ihsan KPDNHEP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 9:18 AM