BERNAMA

Nibong Tebal: Kementerian Perdagangan Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dan minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000 dalam dua serbuan berasingan di Seberang Perai Selatan.

Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, serbuan dilakukan oleh lapan pegawai penguat kuasa pada 5 pagi hari ini merampas 1.7 tan LPG dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM21,000.

"Ketika serbuan, seorang suspek warga tempatan berusia 29 tahun sedang memindahkan 20 tong LPG bersubsidi ke 20 tong gas industri.

"Serbuan dijalankan berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan lebih dua bulan kerana kita mahu menangkap suspek ketika sedang leka membuat kerja," katanya kepada pemberita semasa meninjau lokasi serbuan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan sebanyak 17 tong LPG bersubsidi yang masih berisi dan 16 tong gas yang sudah kosong, 24 unit paip hos dan sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut LPG, dan kesemua barang tersebut akan disita untuk siasatan lanjut.

PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP, Muhamad Khairul Faizi Yahaya memeriksa sebahagian LPG DAN minyak masak bersubsidi bernilai hampir RM50,000 yang dirampas. FOTO Bernama.
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP, Muhamad Khairul Faizi Yahaya memeriksa sebahagian LPG DAN minyak masak bersubsidi bernilai hampir RM50,000 yang dirampas. FOTO Bernama.

Dalam satu lagi serbuan yang dijalankan di sebuah lot berpagar yang terletak di Mukim 14, Seberang Perai Selatan pada 1.25 tengah hari semalam, Mohd Ridzuan berkata, KPDNHEP Pulau Pinang berjaya merampas 1.3 tan minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM26,700 daripada sebuah syarikat yang disyaki menjalankan kerja-kerja penyelewengan.

Beliau berkata ketika serbuan, didapati 47 kotak minyak masak bersubsidi berada di atas sebuah lori manakala tujuh kotak lagi dijumpai di dalam bangsal yang didirikan di lot berkenaan.

"Turut ditemukan, sejumlah bungkusan minyak masak paket satu kilogram yang telah digunting, satu tong dram plastik yang berisi cecair disyaki minyak masak, sebuah lori, dua tangki plastik yang berisi minyak masak, satu pam elektrik dan sambungan paip.

"Siasatan lanjut mendapati lot yang didaftarkan atas satu syarikat perniagaan yang tidak memiliki apa-apa lesen atau kebenaran untuk menyimpan, memproses atau menjual minyak masak berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang merupakan barang kawalan," katanya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut mengingatkan bahawa penyalahgunaan dan penyelewengan barang-barang bersubsidi adalah satu pengkhianatan kepada negara kerana kerajaan mengeluarkan belanja untuk memberikan subsidi kepada barang-barang ini khasnya buat golongan sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 5:01 PM