Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Seorang pemandu bas sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dua tahun lalu.

Tertuduh, K Ravichandran, 53, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, Ravichandran didakwa menyentuh kemaluan kanak-kanak itu ketika dalam perjalanan dari sekolah ke rumah mangsa antara jam 1 hingga 1.25 petang, 6 Ogos 2019.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat selain diletakkan di bawah pengawasan polis bagi satu tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih tiga tahun sepertimana di bawah Seksyen 295(1A) Kanun Prosedur Jenayah, jika sabit kesalahan.

K RAVICHANDRAN diiringi anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencabul seorang murid perempuan berusia 10 tahun pada dua tahun lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
K RAVICHANDRAN diiringi anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencabul seorang murid perempuan berusia 10 tahun pada dua tahun lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Wafiyy Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Datin Shamini Karunananthan.

Mohd Wafiyy meminta mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagaimanapun Shamini memohon ia dikurangkan atas faktor tertuduh berpendapatan rendah selain perlu menjaga isteri yang sakit dan menanggung dua anak lelaki.

Mahkamah kemudiannya membenarkan wang ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 12:01 PM