Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Pengasuh kanak-kanak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh bayi lelaki yang dalam asuhannya, 22 September lalu.

Nursahidah Amran, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Wanita itu dituduh cuba membunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan dengan menghentak dan menyebabkan kecederaan di kepala mangsa yang dengan pengetahuannya bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan 2, di sini antara 7 pagi hingga 2.45 petang, 22 September 2021 dan dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit bersalah.

Nursahidah juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu penganiayaan terhadap mangsa hingga menyebabkan kecederaan fizikal pada waktu, tarikh, dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman dan Afiqah Izzati Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Syahrul Nizam Mohd Rabi dan Mohamad Salihen Mastor.

TERTUDUH dibawa anggota polis selepas menghadapi tuduhan cuba membunuh bayi lelaki tujuh bulan. FOTO Sharul Hafiz Zam.
TERTUDUH dibawa anggota polis selepas menghadapi tuduhan cuba membunuh bayi lelaki tujuh bulan. FOTO Sharul Hafiz Zam.

Terdahulu, pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh mengambil kira keadaan mangsa yang masih kritikal selain tertuduh tinggal berdekatan dengan rumah keluarga mangsa.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon diberikan jaminan dengan jumlah rendah kerana bergantung kepada pendapatan suaminya yang juga tukang cuci sekitar RM1,200.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan, tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kes.

Mahkamah menetapkan 30 November depan untuk sebutan semula kes.

Berita berkaitan

Pengasuh hempas bayi ke lantai kerana tak henti menangis

Pengasuh direman 6 hari, bayi kritikal tapi stabil

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 12:47 PM