ANTARA wanita warga asing yang ditahan polis. FOTO ihsan polis
ANTARA wanita warga asing yang ditahan polis. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan 20 individu termasuk 15 wanita warga asing yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pelacuran dalam serbuan Ops Noda di Sentul, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan di beberapa premis disyaki menjadi sarang pelaburan itu dilakukan jam 2.03 pagi.

"Seramai 20 individu termasuk 15 wanita warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran ditahan dalam operasi itu.

"Polis turut menahan empat lelaki tempatan dan seorang lelaki Bangladesh yang dipercayai penjaga premis dan penganjur aktiviti tidak bermoral itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu berselindung di sebalik perniagaan pusat refleksologi.

"Hasil tangkapan itu, kami berjaya merampas wang tunai berjumlah RM2,500 selain kondom dan gel pelincir.

"Semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan seumpama itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 10:39 AM