SEBAHAGIAN mesin bitcoin dirampas dalam serbuan semalam. FOTO ihsan polis
SEBAHAGIAN mesin bitcoin dirampas dalam serbuan semalam. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Sebuah premis di Metro Prima, Kepong diserbu polis kerana menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital bitcoin secara haram, semalam.

Serbuan pada 10.30 pagi itu dijalankan polis Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dibantu Unit Forensik Teknologi Maklumat Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras dan Team Seal Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tiga lelaki ditahan dengan seorang daripadanya warga tempatan yang dipercayai seorang juruteknik, manakala dua lagi lelaki warga asing menjadi pembantu berusia 25 dan 40 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu berselindung di sebalik premis perniagaan.

"Hasil serbuan itu, polis merampas 77 mesin bitcoin, peralatan komputer dan telefon bimbit pelbagai jenama, modem komputer serta beberapa rangkai kunci premis.

"Semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 17 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990 / Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri arus elektrik bagi tujuan melombong bitcoin," katanya.

Beliau berkata, dalam kes berasingan, polis menyerbu sebuah premis yang menjadi pusat panggilan aktiviti perjudian, semalam.

Menurutnya, tiga lelaki warga tempatan ditahan berusia antara 19 tahun hingga 54 tahun yang dipercayai bekerja penjaga premis serta ejen ejen tambah nilai bagi aktiviti perjudian.

Katanya, premis itu dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu dan kegiatan berselindung di sebalik pangsapuri persendirian yang disewa dengan kadar RM1,800 sebulan.

"Siasatan awal mendapati kegiatan ini meraih keuntungan anggaran lebih kurang RM100,000 sebulan.

"Polis merampas peralatan komputer dan telefon bimbit pelbagai jenama, modem komputer serta beberapa rangkai kunci rumah bersama dengan kad akses.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 9:07 PM