ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan Op Noda di Jalan Metro Perdana Barat. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan Op Noda di Jalan Metro Perdana Barat. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kegiatan pelacuran yang berselindung di sebalik pusat refleksologi dan kediaman pangsapuri di Jalan Metro Perdana Barat, Kepong, di sini, terbongkar dalam dua serbuan berasingan dilakukan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya membuat serbuan Operasi Noda (Op Noda) di dua lokasi berkenaan pada 3.30 petang dan 9.45 malam.

"Dalam dua serbuan itu, kami menahan dua lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis serta tujuh wanita warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pelacuran.

"Hasil serbuan itu, kami merampas wang tunai kira-kira RM900, kondom, minyak urut dan gel pelincir," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak sebulan lalu.

"Siasatan awal di premis berkenaan mendapati modus operandi sindiket terbabit adalah berselindung di sebalik pusat refleksologi dan kediaman pangsapuri bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Semua suspek yang ditahan direman selama tiga hari bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 1:42 PM