ANTARA premis di Sentul yang diambil tindakan kerana terbabit kegiatan perjudian. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA premis di Sentul yang diambil tindakan kerana terbabit kegiatan perjudian. FOTO Ihsan Polis.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tujuh premis yang menjalankan kegiatan perjudian di Sentul dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pemotongan itu dibuat di kawasan Taman Pusat Kepong, Taman Bukit Maluri, Taman Kepong, Vista Mutiara, Metro Prima Kepong, Kepong Baru dan Medan Putra Business.

Menurutnya, operasi bermula 12 tengah hari itu dijalankan pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan pegawai TNB Kepong.

"Sebelum ini, kita melakukan serbuan di 41 premis yang disyaki menjalankan perjudian mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sepanjang Januari hingga Februari lalu.

"Kebanyakan premis yang diserbu adalah rumah kedai dipercayai disewa oleh sindiket judi bagi menjalankan aktiviti itu.

"Hasil serbuan itu, tujuh premis didapati bersalah dan dikenakan hukuman oleh mahkamah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, tujuh premis berkenaan dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik selaras peruntukan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

Katanya, pemilik premis yang mahu melakukan pemasangan semula bekalan elektrik perlu mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu sebelum pihak TNB dibenarkan untuk membuat penyambungan semula.

Tambah beliau, pihaknya juga akan meneruskan operasi itu sebagai langkah untuk memerangi kegiatan judi haram di daerah ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan itu disaran menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 11:09 PM