Muhamad Lokman Khairi

Lumut: Suasana pilu di Masjid An-Nur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, hari ini apabila khutbah khas sempena sambutan Hari TLDM Ke-90 menyentuh mengenai 10 pegawai dan anggota yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas, Selasa lalu.

Khutbah bertajuk 'TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara' itu disampaikan Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob di hadapan 3,000 warga TLDM.

Dalam khutbah khas itu, beliau berkata, nahas membabitkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec TLDM itu memberi kesan yang sangat mendalam dan satu kehilangan besar buat TLDM serta negara.

"Wahai wira dan wirawati negara yang kami sayangi, sedarlah bahawa kamu menggadaikan nyawa demi ibu pertiwi dan tanah air yang tercinta ini.

"Pengorbanan yang kamu berikan pastinya tidak dapat kami balas dengan air mata.

"Hanya doa sahaja yang mampu kami titipkan agar rohmu sentiasa dirahmati Allah," katanya.

Menurutnya, masyarakat dapat menikmati suasana aman dan damai tanpa sebarang ganggu gugat musuh khususnya di perairan maritim negara hasil jasa yang sudah, sedang dan akan terus dipikul oleh TLDM bagi menjamin kedaulatan perairan dan kepentingan negara.

"Meniti 27 April 2024 ini, genaplah usia 90 tahun TLDM. Sekian lama menyumbang bakti dan pengorbanan yang dicurahkan demi keamanan dan kesejahteraan negara tercinta," katanya.

Abdul Rahman berkata, TLDM berjaya melaksanakan sebanyak 424 siri operasi membabitkan enam operasi berterusan dan tiga operasi berkala dengan memastikan kehadiran aset TLDM di Kawasan Operasi Maritim (KOM) pada sebilang masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 4:11 PM
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob menyampaikan khutbah khas sempena sambutan Hari TLDM Ke-90 di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob menyampaikan khutbah khas sempena sambutan Hari TLDM Ke-90 di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI