RAKAMAN CCTV yang tular. FOTO tular
RAKAMAN CCTV yang tular. FOTO tular
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Seorang lelaki ditahan polis semalam, selepas perbuatannya mencuri 20 ayam mentah yang diproses di sebuah premis perniagaan di Kamunting, di sini, pada 25 Julai lalu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, susulan laporan dibuat pengusaha perniagaan itu, polis segera menjalankan siasatan.

"Pada jam 12.05 tengah malam kita membuat serbuan di sebuah rumah kedai di Kamunting dan menahan lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

"Dalam serbuan itu, kita merampas pakaian dipakai suspek semasa melakukan jenayah.

"Suspek yang ditahan mempunyai dua rekod lampau membabitkan dadah dan kini direman sehingga 1 Ogos bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Rakaman CCTV yang memaparkan suspek mengambil bungkusan ayam proses dari dalam tong tular di laman sosial hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 9:36 PM