ASISTEN Komisioner Osman Mamat (hadapan) meninjau dan membuat pemeriksaan di SJR Taman Berkat di Taiping. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
ASISTEN Komisioner Osman Mamat (hadapan) meninjau dan membuat pemeriksaan di SJR Taman Berkat di Taiping. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Lelaki dikenakan kompaun RM20,000 selepas dipercayai menganjurkan majlis perjumpaan membabitkan 27 individu lelaki terdiri jemaah tabligh di rumah tidak bernombor di Kampung Perwira, Kamunting, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam kejadian sekitar 1 tengah hari itu , pihaknya melakukan serbuan di rumah berkenaan selepas menerima maklumat awam berhubung aktiviti terbabit.

Menurutnya, ketika serbuan pihaknya mendapati kesemua individu berkenaan sedang berkumpul dalam rumah itu.

"Hasil siasatan mendapati kesemua mereka berkumpul bagi membincangkan program amal yang akan dijalankan di samping menjalankan aktiviti kerohanian di rumah itu.

"Susulan itu, lelaki berusia 54 tahun yang mengaku menganjurkan perhimpunan itu dikompaun RM20,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP), manakala 26 individu lain diberikan amaran," katanya ditemui di sekatan jalan raya (SJR) di Taman Berkat, di sini, hari ini.

Serbuan itu membabitkan 22 anggota termasuk Pejabat Agama Islam Daerah, Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Pejabat Kesihatan Daerah dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Menurutnya, pihak polis juga giat menjalankan operasi pematuhan SOP di premis-premis atau kilang sekitar daerah ini yang beroperasi tanpa surat kebenaran dan memalsukan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Taiping antara daerah yang serius dalam melaksanakan kompaun pematuhan SOP, dan majoriti kompaun yang dikeluarkan adalah kesalahan biasa seperti tidak memakai pelitup muka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 4:21 PM