SEORANG jurukimpal dijatuhi 25 tahun penjara dan 20 sebatan selepas mengaku salah atas tuduhan merogol anak angkat perempuannya di Mahkamah Sesyen 1, Temerloh hari ini. FOTO Roselan Ab Malek
SEORANG jurukimpal dijatuhi 25 tahun penjara dan 20 sebatan selepas mengaku salah atas tuduhan merogol anak angkat perempuannya di Mahkamah Sesyen 1, Temerloh hari ini. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Temerloh: Seorang jurukimpal dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan merogol anak angkat perempuan berusia 11 tahun sebanyak dua kali pada Jun dan Julai lalu.

Tertuduh berusia 27 tahun membuat pengakuan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilah Mat Ali selesai membaca kertas tuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Manira Mohd Norhari ini.

Hakim memutuskan tertuduh perlu menjalani hukuman 10 tahun penjara serta 10 sebatan bagi kesalahan pertama bermula dia ditangkap Rabu lalu dan penjara 15 tahun lagi serta 10 sebatan bagi kesalahan kedua selepas selesai menjalani hukuman pertama.

Tertuduh didapati bersalah melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dan tidak bersekolah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pada pertengahan Jun lalu, antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari didapati merogol anak angkat yang dipelihara sejak bayi itu ketika di rumah sewa mereka, di sini.

Bagi kesalahan kedua, tertuduh sekali lagi merogol mangsa yang juga anak saudaranya itu di tempat sama pada 19 Julai lalu, kira-kira jam 11 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3 ) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak kurang lapan tahun dan lebih 30 tahun penjara dan juga 10 sebatan.

Ketika perbicaraan berlangsung, tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh ditangkap Rabu lalu selepas isterinya membuat laporan di Balai Polis Mentakab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 5:23 PM