PASANGAN kekasih yang ditahan. FOTO Ihsan Polis
PASANGAN kekasih yang ditahan. FOTO Ihsan Polis
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seorang wanita yang berstatus isteri orang ditahan bersama seorang lelaki dipercayai kekasihnya kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah, di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, di sini, malam semalam.

Kedua- dua mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Alor Gajah, pada jam 11.10 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, kedua-dua mereka yang berusia 30 dan 32 tahun ditahan di rumah sewa suspek lelaki.

Beliau berkata, suspek wanita yang tinggal berhampiran dikatakan ke rumah lelaki itu bersama dua anaknya dipercayai untuk membungkus dadah.

"Menyedari kehadiran polis suspek cuba melarikan diri namun gagal berbuat demikian. Pemeriksaan ke dalam rumah itu kemudian menjumpai lapan paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin serta tujuh plastik dipercayai syabu dan enam biji pil Eramin 5 di dalam sebuah bilik.

"Kesemua dadah itu dianggarkan berjumlah RM6, 000 dan polis turut menemui alatan menghisap syabu serta alat penimbang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kedua-dua suspek disyaki mengedar bahan terlarang itu untuk penagih dadah di sekitar kawasan itu.

"Siasatan dijalankan mendapati mereka ini disyaki membungkus dadah sebelum menjualnya kepada penagih sejak sebulan lalu.

"Lokasi bekalan dadah itu diperoleh suspek masih dalam siasatan," katanya.

Mengulas lanjut Zulkiflee berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah.

"Malah semakan lanjut dilakukan juga mendapati suspek lelaki mempunyai 11 rekod lampau manakala suspek wanita pula empat rekod, kesemuanya berkait kes dadah.

"Kedua-dua mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 10:15 PM