DADAH yang dirampas daripada pasangan kekasih. FOTO Ihsan Polis
DADAH yang dirampas daripada pasangan kekasih. FOTO Ihsan Polis
Nuraliawati Sabri


Melaka: Lelaki dipercayai tokan dadah dan teman wanitanya berusia 16 tahun dicekup bersama dadah bernilai RM16,000 di Lorong Paya Sum, Sungai Udang, di sini, pagi hari ini.

Kedua-dua mereka yang disyaki pasangan kekasih ditahan pada 6.10 pagi di kawasan hutan belukar oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Melaka Tengah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, ketika tangkapan dibuat kedua-dua suspek yang berusia 46 dan 16 tahun itu dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk mendapatkan bekalan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menjumpai satu bekas bertutup warna kelabu dan didalamnya terdapat paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah.

"Lapan paket dipercayai dadah jenis heroin dan 17 paket disyaki dadah syabu yang berat kesemuanya lebih 200 gram dan dianggarkan berjumlah RM16,300," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas suspek mendapati mereka positif dadah.

"Semakan juga mendapati suspek lelaki yang berstatus duda itu mempunyai 11 rekod lampau membabitkan kesalahan dadah bagaimanapun remaja perempuan itu tiada kesalahan lampau.

"Remaja perempuan yang tidak lagi bersekolah itu disyaki digunakan suspek lelaki untuk mengedar dadah dan dikatakan baru aktif kembali sejak sebulan lalu," katanya.

Zulkiflee berkata, selain dadah turut dirampas sebuah motosikal Yamaha 135LC.

"Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 22 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 12:41 PM