GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nuraliawati Sabri


Melaka: Bermadu kasih di dalam hutan belukar. Itu kegiatan sepasang kekasih yang dicekup polis kerana menjalankan kegiatan menjual dadah berhampiran Lorong Paya Sum, Sungai Udang, di sini.

Dalam kejadian jam 6.10 pagi tadi, suspek lelaki berusia 46 tahun dan kekasihnya berusia 16 tahun diberkas bersama dadah bernilai RM16,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Melaka Tengah menangkap suspek yang dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk mendapatkan bekalan dadah.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menjumpai satu bekas bertutup warna. Di dalamnya terdapat paket plastik lut sinar berisi dadah.

"Lapan paket dipercayai dadah jenis heroin dan 17 paket disyaki dadah syabu seberat lebih 200 gram. Semua dadah itu dianggarkan berjumlah RM16, 300," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas suspek mendapati mereka positif dadah.

"Semakan juga mendapati suspek lelaki yang berstatus duda itu mempunyai 11 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah bagaimanapun remaja perempuan itu tiada kesalahan lampau.

"Remaja perempuan yang tidak lagi bersekolah itu disyaki digunakan suspek lelaki untuk mengedar dadah dan dikatakan baru aktif kembali sejak sebulan lalu," katanya.

Zulkiflee berkata, selain dadah turut dirampas sebuah motosikal Yamaha 135LC.

"Kedua-dua mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 22 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 5:48 PM