Rosman Shamsudin

Tanjung Malim: Walaupun untung hanya 20 sen untuk sebungkus nasi lemak, seorang ibu tunggal sanggup berbasikal kira-kira enam kilometer setiap hari pada waktu petang untuk menjual makanan berkenaan.

Saripah Sabtiah Halib, 42, yang tinggal di Kampung Cabang Lima bersama ibu bapanya, Faridah Othman, 60, dan Halib Ramli, 71, menjual nasi lemak di hadapan Masjid Jamek Tanjung Malim.

Demi kelangsungan hidup dan membiayai persekolahan anak perempuan tunggalnya, Syahidatul Khumairah Syarifudean, 14, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Saripah Sabtiah tetap reda walaupun nasi lemak tidak habis dijual.

Saripah Sabtiah berkata, pada peringkat awal, dia hanya berniaga nasi lemak di hadapan rumahnya sahaja iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Katanya, apabila sambutan semakin berkurangan, jiran mencadangkannya berniaga di hadapan masjid berkenaan.

"Dengan menggunakan basikal lama, selepas Aidilfitri lalu, saya mula berniaga nasi lemak di hadapan masjid itu.

"Nasi lemak ini disertakan sambil ikan bilis dan telur goreng. Ia dijual pada harga RM1 sebungkus.

"Saya hanya berdiri untuk menjual nasi lemak manakala basikal saya sandarkan pada pagar masjid kerana ketiadaan tongkat," katanya ditemui hari ini.

Saripah bersama basikal yang ditunggangnya setiap hari bagi menjual nasi lemak di hadapan Masjid Jamek Tanjung Malim. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Saripah bersama basikal yang ditunggangnya setiap hari bagi menjual nasi lemak di hadapan Masjid Jamek Tanjung Malim. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN

Kata Saripah Sabtiah, dia akan berbasikal ke masjid berkenaan jam 5 petang setiap hari dan akan pulang jam 6.30 petang.

"Jika cuaca kurang elok, saya hanya dapat menjual kira-kira 30 bungkus nasi lemak. Baki tidak terjual saya sedekahkan pada rumah anak yatim, masjid serta jiran," katanya.

Menurut Saripah Sabtiah, kekurangan peralatan memasak sedikit sebanyak membantutkan usahanya untuk menyediakan lebih banyak nasi lemak.

Katanya yang berpisah dengan suaminya kira-kira tujuh tahun lalu, resepi nasi lemak daun pisang itu dipelajari daripada ibunya.

"Setiap hari, jika saya dapat jual 100 bungkus, dapatlah untung RM20.

"Untuk menambah pendapatan dan pilihan kepada pelanggan, saya turut menjual nasi goreng dan bihun goreng," katanya.

Saripah Sabtiah berkata, pendapatan itu cukup untuknya menyara keluarga. Pada masa sama, dia turut menerima bantuan bulanan RM300 daripada Baitulmal Muallim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 4:07 PM