PELANGGAN memilih lauk di Bachang Corner Medan Selera, Taman Kota Masai.  Gambar kecil, Nur Nadia. FOTO Omar Ahmad
PELANGGAN memilih lauk di Bachang Corner Medan Selera, Taman Kota Masai. Gambar kecil, Nur Nadia. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Peningkatan kos sara hidup yang mendadak dengan kenaikan pelbagai harga barang termasuk barangan basah menyebabkan kos membeli makanan di luar terutama kepada mereka yang bekerja meningkat hampir dua kali ganda.

Malah ada segelintir peniaga makanan terpaksa mengenakan harga hingga RM12 sepinggan bagi hidangan nasi, ayam dan sayur menyebabkan penduduk mula tertekan.

Menyedari masalah orang ramai, peniaga Medan Selera Bachang Corner, Taman Kota Masai, di sini, Nur Nadia Nordin, 35, menyediakan pelbagai jenis lauk dengan hanya RM1 sesenduk bagi makanan tengah hari.

Dia yang berpengalaman berniaga sejak tiga tahun lalu berkata, idea menjual lauk murah itu timbul kerana pernah membeli makanan tengah hari untuk lima orang makan dengan harga melebihi RM50.

“Saya tahu harga makanan di luar mahal kerana kos untuk membeli barang mentah meningkat. Namun, kita perlu kasihankan mereka yang makan gaji kerana ada antara mereka gaji masih sama.

“Saya yang bekerja dan mempunyai pendapatan pun terkesan dengan harga makanan yang mahal, kadang kala sepinggan nasi dengan lauk ayam dan sayur sampai RM8, itu tidak termasuk air.

“Saya terfikir jika saya yang ada pendapatan sendiri rasa makanan di luar itu mahal, apatah lagi suri rumah atau pekerja yang berpendapatan rendah.

“Kita perlu ingat tidak semua yang bekerja boleh pulang dan makan tengah hari di rumah, namun sekiranya makan tengah hari sehari RM10, sebulan kira-kira RM300, sedangkan kos lain turut meningkat,” katanya.

Menurutnya, dia berbincang dengan suami, Mohd Darul Nafis Miskon, 37, untuk membuat nasi bajet dan selepas membuat perkiraan kos, dia menjual lauk sesenduk RM1, nasi RM1 dan air sirap RM1 segelas.

Bagaimanapun, katanya, lauk ikan terpaksa dijual RM2 kerana harganya terlalu mahal ketika ini.

Nur Nadia berkata, dia menjual lebih 15 jenis lauk termasuk ayam sambal, ayam masak cili padi, sup ayam, kupang, ikan masak asam, ikan goreng, sayur terung, kobis masak lemak dan tauge goreng.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 8:00 AM