ROSIDAH menggunakan FB Live untuk menjual pakaian terpakai. FOTO Ihsan Rosidah Ahmad.
ROSIDAH menggunakan FB Live untuk menjual pakaian terpakai. FOTO Ihsan Rosidah Ahmad.
Redzuan Muharam


Georgetown: Status warga emas bukan halangan buat nenek tujuh cucu, Rosidah Ahmad bersengkang mata daripada tengah malam hingga awal pagi untuk mencari rezeki.

Kesungguhan Rosidah, 60 terbukti apabila gigih bersiaran langsung di Facebook (FB) dari jam 12 tengah malam hingga sebelum masuk waktu Subuh setiap hari untuk menjual pakaian terpakai.

Menariknya, Rosidah menjual pakaian itu dengan harga serendah RM1 dan RM3.

Baru-baru ini, ibu lima anak itu mendapat perhatian netizen apabila kisahnya tular di laman sosial selepas seorang usahawan lelaki memborong pakaian jualannya dengan harga RM1,000 ketika bersiaran langsung pada malam Ahad lalu.

Sejak itu, perniagaan Rosidah semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengikutnya di laman sosial.

Bercerita lanjut, Rosidah mengakui terharu dengan kesudian pembeli terbabit dan semua yang menyokong perniagaannya selama ini.

"Dulu, saya berniaga nasi lemak dan mula menjual pakaian terpakai menggunakan FB Live sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu kerana pergerakan yang terhad.

"Pada awalnya, saya hanya menjual semula baju terpakai yang dibeli di kedai dan peniaga lain.

"Sambutan ketika itu tidak memberangsangkan dan ada kalanya, tiada pembeli langsung dan hanya tiga atau lima saja yang menonton saya bersiaran langsung pada satu-satu masa," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Namun, Rosidah tidak berputus asa dan teruskan usahanya hingga perniagaannya diterima.

Lebih membuatkannya terharu apabila ada di antara pembelinya membuat pembelian dan meminta bantuannya untuk sedekahkan pakaian itu kepada yang memerlukan.

"Suami (Zainol Shaikh Arifin, 60) dan anak-anak ada memberi wang belanja, cuma saya suka berdikari mencari wang sendiri.

"Mereka pada mulanya tidak menggalakkan saya berniaga tetapi akhirnya akur dengan kehendak saya.

"Bagi saya, lebih puas membeli sesuatu dengan wang sendiri. Lagipun, saya enggan membebankan anak memandangkan mereka sudah berkeluarga serta ada tanggungan," katanya.

Rosidah juga mengakui pernah beberapa kali menjadi mangsa pembeli atau 'joy boyer' tetapi menganggapnya sebagai lumrah dalam berniaga, dan enggan terlalu memikirkannya kerana yakin dengan rezeki ditentukan Allah.

"Saya jenis suka bekerja, sejak anak masih kecil lagi saya sudah berniaga makanan seperti pisang goreng, bubur kacang dan nasi lemak.

"Kini, saya masih berniaga nasi lemak cuma mengambil tempahan daripada individu yang mahu menginfaqkan kepada masjid dan lain-lain.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki diberi Allah dan terima kasih kepada semua yang menyokong daripada dulu hingga kini.

"Saya tahu ramai kini terkesan malah anak-anak saya antara yang hilang pekerjaan dalam tempoh PKP tetapi saya yakin mereka terutama anak muda boleh mengharungi ujian itu asalkan terus berusaha," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 9:01 PM